Halaman

Ahad, 24 Mei 2009

UMNO:NAJIB KESAL TUDUHAN PEMBANGKANG

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kesal dengan sikap parti pembangkang yang terus menerus menuduh kerajaan Barisan Nasional (BN) mengatur keputusan Mahkamah Rayuan dalam menentukan Menteri Besar Perak yang sah.

Beliau berkata, sebaliknya keputusan mahkamah itu bebas daripada sebarang pengaruh mana-mana pihak dan alasan yang diberikan Mahkamah Rayuan bagi keputusannya itu turut dikongsi oleh pakar undang-undang antarabangsa Queen's Counsel Lord Lester.

“Dan kalau lah seorang Queen’s Counsel seperti Lord Lester itu boleh mengeluarkan pendapat bahawa kita berada di atas landasan yang betul, seperti mana keputusan mahkamah rayuan, maka janganlah disalahertikan ataupun memberikan pandangan yang negatif terhadap badan kehakiman negara”, katanya selepas merasmikan Minggu Perpaduan peringkat kebangsaan di Puchong di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihak pembangkang tidak boleh mengambil sikap jika sesuatu keputusan itu memihak kepada mereka maka mereka menerima sistem kehakiman itu sebagai bebas tetapi jika memihak kepada kerajaan, dituduh sebagai mengikut telunjuk kerajaan dan beranggapan perkara berkenaan adalah tidak tidak adil.

“Kita harap ada penyudahnya dari segi proses ini dan saya difahamkan kemungkinan besar mereka akan membuat rayuan kepada Mahkamah Persekutuan, jadi kalau mereka hendak membuat rayuan, mereka berhak berbuat demikian,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan akan terima apa jua keputusan Mahkamah Persekutuan nanti dan berharap perkara itu ada penyudahnya supaya kerajaan dapat berkhidmat untuk rakyat.

Jumaat lalu, Mahkamah Rayuan mengisytiharkan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah selepas membenarkan rayuannya untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 11 Mei lalu yang mengisytiharkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin pemegang sah jawatan itu. - Bernama

1 ulasan:

  1. Diaorang kalau di layan memang tak abis-abis...diaorang memang nak push supaya pilihanraya..overconfident boleh menang..sekali kalah mau terjun sg perak tu...

    Aku add blog hebat ni di bloglist aku @ http://1-malaysia.blogspot.com

    BalasPadam

SILA ULAS APA YANG ANDA BACA