Beliau berkata, usul pemecatan dan pelantikan Speaker bukan berada dalam budi bicara bekas Speaker, V Sivakumar, sebagaimana dakwaannya sebelum ini, tambahan pula usul itu dibuat berasaskan peruntukan undang-undang serta peraturan sedia ada.
Katanya, Perintah Tetap juga jelas menyatakan apabila Speaker baru dipilih, Speaker lama perlu mengosongkan jawatan dan pejabat yang didudukinya.
Malah, katanya, Sivakumar seharusnya mengambil sikap terhormat dengan secara sukarela mengosongkan kerusinya apabila Speaker baru sudah dipilih.
Ditanya apakah tindakan selanjutnya jika Sivakumar masih enggan mengosongkan pejabatnya, beliau berkata: "Awak jangan tanya saya. Awak tengok apa yang akan berlaku."
Ditanya bila beliau akan masuk ke pejabat Speaker di bangunan Perak Darul Ridzuan, Ganesan berkata, ia akan dilakukan dalam tempoh terdekat.
Mengenai kenyataan pakatan pembangkang yang tidak mengiktiraf Sidang DUN semalam dan masih menganggap V Sivakumar sebagai Speaker yang sah kerana persidangan belum bermula ketika usul pemecatan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tronoh itu dibuat oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Ganesan berkata, sebenarnya sidang DUN sudah pun bermula apabila Sivakumar mengambil tempatnya dalam DUN.
"Bilakah masanya Speaker mengambil tempat dalam DUN? Sudah tentu ketika sidang DUN. Speaker tidak akan duduk di kerusinya jika tiada Sidang DUN.
"Beliau tidak boleh kata sidang DUN belum bermula sebab saya belum membukanya sedangkan beliau sudah duduk di situ manakala semua ahli DUN sudah hadir.
"Malah, tindakan pakatan pembangkang sendiri mengambil tempat dalam DUN juga sebenarnya secara tidak langsung menunjukkan mereka sudah mengiktiraf persidangan semalam.
PANDANGAN PENASIHAT UNDANG UNDANG UMNO:
Biarpun kekecohan tercetus pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak berlarutan selama enam jam semalam, namum seorang Speaker baru dilantik dan empat usul diluluskan.
Pelantikan serta usul yang diluluskan adalah sah, menurut Penasihat Undang-Undang UMNO Datuk Hafarizam Harun dan peguam Datuk Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam kes membabitkan krisis perlembagaan negeri Perak di mahkamah.
Empat usul tersebut ialah pemecatan V. Sivakumar sebagai Speaker, melantik bekas ADUN Sungkai Datuk R. Ganesan sebagai Speaker baru, melantik anggota baru jawatankuasa negeri dan mengisytiharkan persidangan DUN Perak 'di bawah pokok' yang dipengerusikan oleh Sivakumar pada 3 Mac lepas sebagai tidak sah.
Hafarizam berkata penyingkiran bekas Speaker Sivakumar adalah sah kerana usul itu difailkan lebih 14 hari sebelum persidangan dan oleh itu ia perlu dibahaskan dan diputuskan pada persidangan hari ini.
Mengikut Perintah Tetap Dewan Negeri, sebarang usul yang dibawa lebih 14 hari perlu dibentangkan untuk kelulusan Dewan.
"Perkara 36A (1) (b) menyatakan bahawa tanpa kehadiran Speaker, Timbalan Speaker boleh mempengerusikan sehingga pelantikan Speaker yang baru dan Hee (Yit Foong) mengisi kekosongan itu merupakan pelantikan yang betul," katanya kepada Bernama di sini Khamis.
Mengenai dakwaan Pakatan Rakyat bahawa persidangan DUN itu tidak sah, Hafarizam berkata terdapat persetujuan Diraja bagi persidangan dan mesyuarat telah pun diwartakan.
"Lagi pun, BN mempunyai 31 undi dan peraturan majoriti mudah menyatakan bahawa usul yang diluluskan hari ini semuanya sah termasuk persidangan itu," katanya.
Katanya Perkara 72 dalam Perlembagaan Persekutuan turut memberi imuniti kepada persidangan dan usul yang diluluskan oleh Dewan hari ini tidak boleh dicabar di mahkamah.
Terdahulu itu, Sivakumar berkata penggantungan Menteri Besar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan enam anggota exco dilakukan dalam kapasitinya sebagai pengerusi Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Perak dan bukan sebagai Speaker.
Berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan berdasarkan kedudukannya sebagai Speaker, perkara tersebut tidak boleh diguna pakai, dakwanya.
Muhammad Shafee berkata dakwaan Sivakumar itu tidak sah kerana dia telah mengeluarkan surat tunjuk sebab bagi menggantungkan Zambry dan enam exco BN atas kedudukannya sebagai seorang Speaker.
"Ianya juga kerana dia sebagai Speaker dan dia layak duduk sebagai pengerusi (jawatankuasa itu) jadi semuanya terikat," katanya.
Muhammad Shafee berkata dalam sebarang kes, Speaker tidak boleh menggantungkan mana-mana ahli Dewan untuk tidak melebihi sehari.
"Dia perlu merujuk perkara itu kepada Dewan bagi memastikan ianya dilaksanakan dengan teratur...dia tidak melakukannya dan mahkamah memerintahkan 'persidangan di bawah pokok' itu tidak sah," katanya ketika dihubungi.
Muhammad Shafee juga menolak dakwaan Sivakumar bahawa tiga wakil rakyat bebas "mesra BN' tidak harus menghadiri persidangan itu kerana ada kes saman yang dikemukakan oleh Sivakumar terhadap mereka masih belum diputuskan di mahkamah.
"Suruhanjaya Pilihan Raya (telah memutuskan bahawa mereka masih memegang kerusi dalam Dewan) dan juga mahkamah memutuskan mereka tidak pernah letak jawatan kerana surat peletakan jawatan yang pra tandatangan adalah tidak sah," katanya.
GILA kuasa, BN dan PR, sama sahaja
BalasPadamBila PR buat usul, BN bawak mahkamah kata DUN takde imuniti. Tapi bila BN buat pulak ada imuniti. Siap bagi akta lagi. Mana yang betul ni bro? Sudah sudah la tu perbodohkan rakyat.
BalasPadamKalau umno buat apa aja kamu kata betol.cukup-cukup ler nak perbodohkan orang melayu.kenapa kamu nak perbodohkan orang melayu,poket kamu tak penuh lagi ke?.orang melayu ketinggalan kerana adanya orang macam kamu.
BalasPadam