Halaman

Isnin, 1 Jun 2009

MANEK URAI:UMNO SELAMI KESUSAHAN RAKYAT DALAM KEMPEN MANEK URAI

Tidur di rumah penduduk dan bersama menoreh getah adalah antara pendekatan jentera penerangan Umno bagi menarik sokongan pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai dalam kempen menjelang pilihan raya kecil pada 14 Julai ini.

Ketua Penerangan Umno, Ahmad Maslan, berkata petugas BN perlu merasai susah senang penduduk di situ yang sebahagian besarnya bekerja kampung untuk menambat hati mereka bagi mengundi BN.

"Jentera penerangan Umno dilancar secara rasmi hari ini, dengan tidur di rumah penduduk, dan jentera ini akan merasai susahnya pekerjaan mereka seperti bekerja kampung.

"Ceramah akan tetap diadakan tetapi lebih penting kita bertemu sendiri pengundi dan menerangkan apa pentingnya mereka memilih BN pada pilihan raya kecil nanti," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penerangan Umno Kelantan di sini hari ini.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Ismail Yaacob daripada Pas akibat sakit jantung pada 22 Mei lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai ini sebagai tarikh penamaan calon.

Ahmad, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata BN seboleh-bolehnya akan bertemu dengan lebih 12,000 pengundi di kawasan DUN itu dengan cara berkunjung ke rumah, surau dan juga di tempat kerja mereka.

"Jika perlu jentera juga akan menggunakan SMS kepada pengundi tetapi apa yang lebih penting jentera BN ini perlu mematahkan serangan Pas yang memperkecilkan pemimpin dan usaha BN memajukan negara," katanya.

Beliau berkata, perpaduan dalam Umno dan BN di Kelantan adalah sangat utuh.

"Ada sinar di hujung terowong," katanya.

1 ulasan:

  1. Letak calon..suruh UMNO bahagian kempen..maslah infra suruh kerajaan negeri selesai..tak payah bawak jentera ramai-ramai..membazir sahaja..orang kelantan kena ajor sikit..kuat makan rasuah..umno beri ambik..undi bagi PAS..nak buat macam mana ajaran sesat tok guru mereka..Nak jumpa semua pengundi buat apa, dah 52 tahun memerintah takkan tak nampak jasa Umno lagi atau memang jenis orang tak sedar dek untung akibat ajaran sesat Nik ajis..susah sangat tarik balik JPP di Kelantan..dah bertahun2 tak dapat jugak amik kelantan..tinggal je lah..

    BalasPadam

SILA ULAS APA YANG ANDA BACA