Ini cerita lebih dua tahun yang lalu.Namun apa yang ditulis oleh Syed Azidi Syed Aziz @ blogger Kickdefella ini boleh membuat orang bertanya apakah betul PAS pun turut terlibat dalam cubaan untuk membeli wakil rakyat Barisan Nasional selepas tsunami pilihanraya umum ke 12.

Kalau mengikut apa yang didakwa Syed Azidi tentang satu SMS yang diterimanya pada 9 Mac 2009 bunyinya macam begitu.

Maka Datuk Husam Musa yang dikaitkan secara langsung dengan SMS itu perlulah menjelaskan apa ceritanya ini semua.


Syed Azidi ialah bekas pegawai Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) yang ' lapor tugas' pada Husam sebelum dipecat oleh bekas CEO PMBK ,Ariffahmi Abdul Rahman yakni menantu kepada Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Beliau telah membuat pelbagai pendedahan mengenai pentabiran Nik Aziz dalam laman blognya kebelakangan ini.

Dalam tulisan terbarunya pada 11 Julai di laman blog Kickdefella,Syed Azidi mendakwa menerima SMS yang bertulis ‘ Wang sudah ada untuk pembelian wakil-wakil rakyat BN ’ dari seorang ahli perniagaan rakan kepada bekas Naib Presiden PAS itu.

Katanya SMS itu diterimanya semasa menghadiri satu mesyuarat di rumah Husam yang turut dihadiri oleh Ahli Parlimen PKR Machang,Saifuddin Nasution yang kini Setiausaha Agung PKR.

Dakwa Syed Azidi daripada konteks mesyuarat hari itu, beliau difahamkan wang tersebut untuk membeli Ahli-Ahli Parlimen dari Sabah dan menumbangkan Kerajaan Barisan Nasional secepat mungkin.

Dakwaan ini agak mengejutkan mengenangkan PAS selama ini mendakwa tidak pernah terlibat main duit apa lagi untuk membeli wakil rakyat BN.

Nik Aziz sendiri antara yang bukan main punya kecam tindak tanduk membeli wakil rakyat.

Baru-baru ini Syed Azidi telah mendedahkan mengenai wang RM4 juta untuk Global Media Channel yang dipeloporinya untuk melemahkan pentabiran bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Badawi sebelum pilihanraya umum lalu.

Akhirnya setelah berdolak dalik Husam mengakui beliau terlibat dalam urusan menyediakan dana berkenaan.

Husam selama ini dikatakan adalah salah seorang puak Erdogan yakni golongan yang pro Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam PAS.

Semua orang tentu ingat tentang dakwaan Anwar sudah ada cukup bilangan Ahli Parlimen BN yang nak lompat untuk gerakan 16 September 2008 yang tak menjadi.-12/7/2010




Berikut ialah tulisan Syed Azidi mengenai hal itu:

Saya berada bersama YB Dato’ Husam Musa di dalam rangka lawatan rasmi ke Beijing pada awal Februari 2009. Sewaktu wakil dari Beijing Enterprise Development Corporation sedang memberi taklimat di hari terakhir lawatan sebelum kami menandatangani perjanjian sefahaman, talian handphone YB Husam tidak berhenti berdering. Tamat taklimat oleh orang besar BEDC, YB Husam memohon maaf di atas kebisingan telefon bimbitnya.

“I have to answered those calls ….” lebih kurang begitu penjelasannya.

Perak sudah kembali kepada Barisan Nasional. Suasana dingin minus 6 dibawah paras beku di Kota Beijing tidak dapat menyamankan kami.

“Kita sembahyang hajat sampai ke Yemen…” Kata Husam kemudian, menjelaskan betapa sukarnya usaha untuk mendapat perkenan supaya YB Nizar Jamaluddin diangkat sebagai Menteri Besar Perak selepas PRU 12.

Ketika itu Husam adalah Naib Presiden PAS dan beliau ditugaskan menyelesaikan urusan penubuhan Kerajaan Campuran PAS, DAP dan PKR di Perak.

Setahun sebelum itu, jam 8.00 pagi, 9 March 2008, Husam membuat panggilan telefon kepada saya dan mengarahkan saya datang segera ke rumahnya. Lebih kurang jam sebelas pagi, Saifuddin Nasution Ismail tiba. Perbincangan berkisar kepada bagaimana menubuhkan sebuah kerajaan di Perak. Saifuddin dengan jelas di dalam pertemuan itu menyebut PKR tiada calon yang layak untuk dicadangkan sebagai Menteri Besar.

Bagaimanapun, Saifuddin mencadangkan nama Dr. Zambry, YB BN yang menang di Pangkor. Saifuddin nampak yakin bahawa YB Dr. Zambry Abdul Kadir akan sertai PKR untuk menjadi Menteri Besar Kerajaan Campuran di Perak.

Di dalam mesyuarat yang sama, saya menerima SMS dari seorang tokoh perniagaan yang juga sahabat Husam. SMS itu di antara lain menyebut bahawa ‘Wang sudah ada untuk pembelian wakil-wakil rakyat BN’.

Saya tidak pasti sama ada wakil-wakil rakyat itu adalah termasuk Dr. Zambry tetapi daripada konteks mesyuarat hari itu, sefaham saya ialah wang tersebut untuk membeli Ahli-Ahli Parlimen dari Sabah dan menumbangkan Kerajaan Barisan Nasional secepat mungkin.

Sehingga hari ini saya tidak pasti mengapa sms itu dihantar kepada saya. Atau sms itu dihantar kepada orang lain dan di salin kepada saya.

Sepekara lagi yang dibincangkan pada hari itu ialah kedudukan Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Saifuddin menimbulkan persoalan sama ada jika Anwar diangkat sebagai Senator, apakah dia boleh dipilih sebagai Perdana Menteri.

Walaubagaimanapun, segala pokok perbincangan hari itu tidak kemana kerana Saifuddin asyik mahu merujuk kepada Dato’ Seri Anwar di dalam segala hal.

Akhirnya, Husam bangkit membentang sejadah di ruang tamu rumah itu dan menunaikan sholat sunat tanpa berkata apa-apa lagi pada kami.

Hasil dari pembuangan undi pada 8 Mac 2008 untuk 56 kerusi Dewan Undangan Negeri Perak, keputusannya ialah BN UMNO dapat 27 kerusi DUN, BN MCA dapat 1 kerusi.

BN UMNO tewas 5 kerusi dan BN MIC tewas 1 kerusi kepada PAS menjadikan jumlah ADUN PAS ialah 6.

BN MCA tewas 14 kerusi, BN GERAKAN tewas 3 kerusi dan BN MIC tewas 1 kerusi kepada DAP menjadikan jumlah ADUN DAP ialah 18 semuanya.

BN UMNO tewas 2 kerusi, BN GERAKAN tewas 1 kerusi, BN MCA tewas 2 dan BN MIC tewas 2 kerusi kepada PKR. Ini menjadikan jumlah ADUN PKR ialah 7 semuanya.

Keputusannya, BN 28 kerusi, DAP 18 kerusi, PKR 7 kerusi dan PAS 6 kerusi. BN boleh menubuhkan kerajaan minoriti kerana pada ketika itu tiada platform yang mengikat ketika-tika parti pembangkang, tetapi memilih untuk menjemput PAS menyertai Kerajaan yang bakal ditubuhkan.

Secara rasminya, PAS menolak cadangan Kerajaan Campuran dengan BN, sebuah keputusan yang saya amat hargai pada waktu itu. Jika PAS menubuhkan Kerajaan bersama BN pada ketika itu, ia hanya akan menyukarkan semula usaha untuk menyingkirkan Abdullah Ahmad Badawi dari tampuk pemerintahan negara. Abdullah adalah masalah besar kepada Malaysia.

Abdullah sudah membawa petaka itu kepada rakyat Malaysia. Usaha yang boleh membantu menyelamatkan Abdullah adalah usaha yang belot terhadap keputusan pengundi pada 8 Mac 2008 itu. Pendirian Husam amat jelas dalam soal ini, dan saya bangga sekali.

Tetapi menyertai Kerajaan Campuran bersama DAP adalah satu matlamat singkat dan merbahaya kepada bukan sahaja PAS, tetapi kepada umat Islam dan orang-orang Melayu di Malaysia. Tersingkirnya Abdullah Ahmad Badawi sepatuntya membuka ruang penyatuan semula bagi orang-orang Melayu dan rakyat Malaysia.

Negeri Perak Darul Ridzuan mempunyai 59 buah kerusi Dewan Undangan Negeri. 38 kerusi DUN adalah kawasan di mana lebih 50% pemilihnya terdiri daripada orang-orang Melayu. Manakala 21 kerusi DUN nya mempunyai komposisi pemilih Melayu kurang daripada 50%.

Daripada 21 kerusi yang mana pemilih Melayu kurang daripada 50%, 19 daripadanya menunjukkan penguasaan pemilih Cina lebih daripada 50% dan kerusi-kerusi itu dimenangi secara total oleh Pembangkang.