Halaman

Sabtu, 30 Mei 2009

PENANTI:SPR BERI AMARAN JANGAN PUTAR BELIT LARANGAN KEMPEN

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini sekali lagi mengingatkan semua pihak yang bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti supaya tidak memutar-belitkan peraturan larangan berkempen pada hari mengundi esok.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata SPR tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas jika ada pihak yang sengaja tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan itu.

"Saya akui bukan mudah untuk menukar budaya (tidak boleh berkempen pada hari mengundi), tetapi saya harap mereka tidak putar belitkan kenyataan yang kami (SPR) buat

"Jika mereka melakukannya, saya tahu apa yang kami akan buat pada pilihan raya akan datang," katanya pada sidang akhbar di pusat penjumlahan undi di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di Jalan Berapit, di sini.

Beliau mengulas dakwaan pemimpin Parti Pakatan Rakyat (PKR) hari ini bahawa mereka tidak dimaklumkan mengenai larangan menggunakan logo parti pada kenderaan yang mengangkut pengundi pada hari pengundian.

Pilihan raya kecil Penanti menjadi projek perintis kepada penguatkuasaan peraturan tidak boleh berkempen semasa hari mengundi yang antara lain melarang pihak bertanding merayu atau meraih undi dan mendirikan "pondok panas".

Abdul Aziz juga meminta pengundi keluar awal untuk mengundi esok dan tidak berlegar di kawasan pengundian selepas selesai menunaikan tanggungjawab mereka.

Jabatan Meteorologi meramalkan hujan dan ribut petir pada sebelah pagi dan hujan curahan di sebelah petang esok

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

SILA ULAS APA YANG ANDA BACA