Halaman

Isnin, 28 Mac 2011

ADUN PKR SERI MUDA TIDAK AKAN DILEPASKAN

Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 25 April depan untuk sebutan semula kes Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Sri Muda Shuhaimi Shafiei yang didakwa menerbitkan artikel mengandungi ayat-ayat menghasut di laman blognya pada 30 Disember tahun lepas.

Hakim Slamat Yahya menetapkan tarikh itu selepas membenarkan permohonan peguam Edmund Bon yang mewakili Shuhaimi, 42.

Bon memohon satu tarikh sebutan semula bagi membolehkan pihaknya memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi selewat-lewatnya Jumaat ini untuk memohon satu deklarasi bahawa Akta Hasutan 1948 bercanggah dengan Artikel 5,8 dan 10 Perlembagaan Persekutuan.

Sebelum itu, pertuduhan dibacakan semula kepada Shuhaimi memandangkan kes itu pada tarikh lepas telah disebut di hadapan Hakim Latifah Mohd. Tahar.

ADUN daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu didakwa menerbitkan artikel bertajuk “Pandangan saya berasaskan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959” yang mengandungi ayat-ayat menghasut di laman web http://srimuda.blogspot.com di Pusat Khidmat Rakyat, 6/2, Jalan Anggerik Vanilla R 31/R, Kota Kemuning di sini, 30 Disember tahun lepas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

SILA ULAS APA YANG ANDA BACA