Menurutnya, sehingga kini tiada sebarang kenyataan daripada pihak PAS tentang isu tersebut.
"Saya begitu sedih mengapa tidak ada apa-apa komen daripada kepimpinan tertinggi PAS terhadap isu peruntukan masjid ini.
"Ini menunjukkan perjuangan dan prinsip PAS terpaksa dikorbankan sekali lagi untuk jangka masa pendek," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media sempena lawatan deligasi Parti Golkar Indonesia ke Ibu Pejabat Pergerakan Pemuda Umno hari ini.
"Saya ingin lihat pendirian PAS, sama ada mereka ingin bersuara atau sekali lagi akan mempertahankan tindakan DAP," ujar Khairy.
Tambahnya, PAS seharusnya bangkit menyuarakan pendapat dan pendirian mereka dalam hal ini dan tidak hanya berdiam diri untuk mempertahankan DAP.
Dalam pada itu, Pergerakan Pemuda turut mengecam dan tidak menerima penjelasan yang telah diberikan Nga yang mempersoalkan isu masjid itu.
Kelmarin, Nga mengeluarkan kenyataan mempersoalkan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM748.26 juta bagi membina 611 masjid bagi tempoh 2000 hingga 2008 sedangkan pada masa yang sama kerajaan gagal membina rumah ibadat bagi agama lain.
Mengulas lanjut mengenai isu tersebut, Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata Nga tidak menghormati perlembagaan persekutuan dan menyinggung sensitiviti agama di Malaysia.
"Pergerakan Pemuda Umno rasa penjelasan yang dibuat tidak boleh diterima. Nga tidak boleh mempersoal perbandingan peruntukan yang diberikan kepada masjid dengan rumah ibadat yang lain.
"Kami memahami perjuangan untuk menambah peruntukan rumah ibadat yang lain, itu tidak ada masalah kerana itu adalah tanggungjawab kerajaan.
"Namun jika buat perbandingan dengan masjid, itu telah menjadi isu sensitif. Ini bukan kali pertama, DAP sudah berkali-kali tidak hormat sensitiviti agama di Malaysia,” katanya.
Tambahnya, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan segera kepada Nga.
"Budaya seperti ini tidak melambangkan ketimuran dan memperlihatkan budaya politik yang tidak sihat," katanya.
Sementara itu, Khairy turut menepis laporan sebuah portal berita mengenai kemungkinan beliau akan dilantik sebagai Timbalan Menteri Pelancongan mengantikan Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Taib.
"Itu adalah khabar angin semata-mata, saya tidak mahu komen apa-apa berkaitan dengan khabar angin.
"Pada saya itu hanyalah spekulasi sahaja," katanya ketika diminta mengulas tentang isu tersebut.
Selasa lepas, sebuah portal berita melaporkan bahawa Khairy berkemungkinan dilantik timbalan menteri dalam perubahan kecil peringkat kementerian yang akan dilakukan tidak lama lagi.
Dalam perkembangan lain, Khairy meminta agar MCA menyelesaikan masalah dalaman parti tersebut secepat mungkin bagi mengelakan kesan jangka masa panjang kepada Barisan Nasional.
"MCA perlu mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah mereka, Umno tidak boleh campur tangan dalam masalah yang dihadapi oleh MCA.
"Semakin lama masalah ini berlanjutan semakin hilang keyakinan masyarakat umum terutamanaya masyarakat cina," kata Khairy.
Khairy berkata, Umno tidak akan campur tangan namun MCA perlu menyelesaikan isu ini secepat mungkin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA ULAS APA YANG ANDA BACA