Siapa saja yang berpeluang berada di kedua-dua tempat semasa proses penjumlahan undi dibuat dapat merasai mood yang sama.Bezanya cuma tiga minggu lalu di Hulu Selangor calon BN orang India PKR Melayu manakala di Sibu Ahad ialah BN orang Cina vs DAP orang Cina.

Apa yang jelas ‘ sentimen Cina’ di Hulu Selangor menjalar ke segenap pelusuk Sibu yang 67 peratus dari 54,695 pengundinya ialah orang Cina.

Analisa yang mudah dari keputusan pilihanraya kecil yang dimenang dengan majoriti tipis 398 undi ialah kebanyakan orang Cina sudah tidak peduli apa – sokongan mereka tetap pada siapa saja yang membawa lambang pembangkang.

Indikator jelas BN menjadi underdog dan tertekan dengan sentimen Cina ialah pada malam grand finale kempen DAP dekat Hotel Paramount,Sibu.Hampir 10,000 orang bandar yang majoritinya orang Cina membanjiri kempen malam akhir itu yang menampilkan penceramah utama Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kira-kira satu kilometer dari itu sekitar 2,000 hadir pada majlis kempen yang dihadiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Senario malam itu jelas diterjemahkan dalam bentuk undi yang menyaksikan Wong Ho Leng mendapat 18,845 undi menewaskan calon BN Robert Lau Hui Yew, yang mendapat 18,447 undi manakala calon Bebas, Narawi Haron 232 undi.

Walaupun menang dengan majoriti tipis 398 namun dibandingkan dengan keputusan pilihanraya umum Mac 2008 Wong memperolehi peningkatan undi lebih 3,000.

Waktu itu mendiang Datuk Robert Lau yang tiga penggal menjadi Ahli Parlimen Sibu memperoleh 19,138 undi berbanding Wong 15,903 dalam pertanding tiga penjuru.Calon PKR Lim Chi Chuang hanya 812.

Seperti juga apa yang tertera di skin besar Dewan Komplek Sukan Kuala Kubu Bharu skin besar di Dewan Suarah,Sibu memaparkan semua peti undi dikawasan majoriti Cina…buka saja BN kalah.

Begitu juga kalau talian hayat BN di Hulu Selangor pada peti undi kawasan majoriti Melayu di penempatan Felda di Hulu Bernam harapan BN di Sibu pada kotak undi di kawasan Dewan Undangan Negeri Nangka yang majoriti Melayu/Melanau dan sebilangan kawasan Iban.

Para pemerhati menilai apa lagi rumusan yang boleh dibuat jika bukan sentimen Cina.

Jika nak bercakap tentang pembangunan dan kemakmuran semua orang tahu orang Cina yang merupakan majoriti penduduk khususnya di bandar Sibu adalah golongan yang paling senang berbanding orang Melayu/Melanau dan Iban.

Politik pembangunan maupun janji bantuan berjuta nampaknya tidak laku dikaca mata mereka.

DAP sebaliknya mempunyai senjata yang menusuk hati.Wang berjuta tidak perlu untuk main sentimen termasuk isu kalimah Allah.

Tema kempen mereka mengajak orang Sibu mengubah.

Soalnya ubah apa? Mereka yang mendengar kandongan kempen DAP dan pimpinan pakatan pembangkang dapat melihat apa yang tersirat.

Sarawak akan berdepan dengan pilihanraya negeri tahun depan.Sebagai negeri yang selama ini menjadi fixed deposit BN siapa yang tidak mahu mengegarkan status quo itu melalui apa cara sekalipun.

Melihat trend sentimen kaum yang menjalar dari satu pilihanraya kecil ke satu pilihanraya kecil sejak pilihanraya umum Mac 2008 khususnya selepas kejatuhan kerajaan DAP Perak,ada pemerhati yang kata BN harus merangka strageji baru untuk berdepan dengan realiti ini menjelang pilihanraya umum ke 13.

Sibu membuktikan hakikat apa yang sudah terang lagi bersuluh.

Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali yang juga Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas awal-awal lagi tidak berselindung mendakwa orang Cina di Sibu seperti juga di Hulu Selangor tidak menghargai langsung janji pembangunan dan bantuan yang dibawa oleh Perdana Menteri semasa kempen.

Baginya ini satu hikmah pengajaran yang harus dinilai oleh orang Melayu.