Kalau sudah hendak lemas, apa yang ada depan mata pun dipautnya, itulah bidalan sesuai untuk Mohamad Sabu yang dakwa Yayasan Warisan Johor (YWJ) mengiktiraf pemimpin komunis Melayu Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan.
Sebaliknya, YWJ dalam satu kenyataan pada Selasa menjelaskan walaupun nama Mat Indera disenaraikan menerusi penulisan yang diterbitkan dalam buku bertajuk, Pengukir Nama Johor namun Mat Indera tidak pernah diiktiraf sebagai pejuang kemerdekaan negara.
Sebaliknya jelas YWJ, dua penulisan berkaitan Mat Indera diterbitkan dalam buku itu hasil penyelidikan dua penulis berbeza, memerlukan tafsiran dan penilaian masyarakat, khususnya golongan sejarawan, sama ada lelaki itu seorang pengganas komunis atau pejuang.
Selain artikel hasil penyelidikan Allahyarham Ismail Adnan, buku itu juga memaparkan penulisan mengenai Mat Indera berdasarkan kajian Sahgidon Dirhan bertajuk Bajuri Haji Siraj, yang mendedahkan Mat Indera pemimpin komunis Melayu melakukan keganasan dan kekejaman terhadap bangsa sendiri.
Pengarah YWJ, Muhamad Fuad Radzuan, berkata buku berkenaan hasil kajian penyelidik dan penulis secara individu di bawah Projek Penyelidikan dan Penulisan Warisan Sejarah Johor (PEWARIS) yang diselenggarakan yayasan itu.
“Projek PEWARIS membabitkan penulis dan penyelidik yang dilatih sekumpulan tenaga akademik dari beberapa institusi pengajian tinggi awam negara ini. Hasil kajian dan penulisan mereka dibukukan untuk tatapan masyarakat, termasuk buku Pengukir Nama Johor yang diterbitkan pada 2004.
“Justeru, Pengukir Nama Johor hasil kajian dan penyelidikan penulis secara individu walaupun mungkin boleh menimbulkan kontroversi. Terserah kepada masyarakat khususnya golongan sejarawan mentafsir dan menilainya kerana pentafsiran oleh golongan yang tidak arif, dikhuatiri boleh mengelirukan masyarakat.
“Selain artikel mengenai Mat Indera hasil penyelidikan dan penulisan Ismail, sebuah lagi artikel dalam buku sama oleh Sahgidon pula menyatakan Mat Indera adalah pemimpin komunis Melayu yang ganas dan kejam terhadap bangsanya sendiri," katanya.
Muhamad Fuad berkata, perbezaan itu wujud kerana YWJ memberi kebebasan kepada penyelidik dan penulis sejarah berkenaan mengemukakan hasil kajian dan penulisan masing-masing dalam bentuk karya akademik popular.
Katanya, pendekatan itu dengan harapan hasil penyelidikan berkenaan dapat merangsang penulis lain memperkembangkan maklumat yang ada dalam penulisan buku terbabit supaya ia menjadi lebih komprehensif.
Pada sidang akhbarnya semalam, Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu dengan ‘yakin’ mempertahankan kenyataannya bahawa Mat Indera dan pengganas komunis dalam peristiwa berdarah di Balai Polis Bukit Kepong sebagai pejuang kemerdekaan sebenar.
Menurut Mohamad atau Mat Sabu, ia berdasarkan buku Pengukir Nama Johor pada halaman 107 hingga 117 yang menceritakan latar belakang dan perjuangan Mat Indera yang ditulis Ismail Adnan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA ULAS APA YANG ANDA BACA