JANJI Datuk Seri Anwar Ibrahim hendak menjadikan Lim Kit Siang sebagai Timbalan Perdana Menteri hakikatnya tidak lebih daripada wayang yang biasa dimainkan Penasihat PKR itu.
Anwar sebenarnya tidak ada locus standi untuk menghitam-putihkan janji-janjinya. Pertama, sebab beliau tidak ada dalam kemungkinan akan berkuasa, lebih-lebih lagi dalam keadaan partinya ketika ini yang hampir berkecai. Apatah lagi, soal perundangan peribadinya yang tidak selesai.
Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tempoh hari tampil dengan komen yang tepat. Rakyat harus berhati-hati dengan janji Anwar yang tidak semestinya dapat ditunaikan, kata beliau.
Kadang-kadang dia cakap lain kepada orang Melayu dan cakap lain pula kepada orang Cina, kata Perdana Menteri lagi.
Banyak pengalaman yang diraih oleh orang Melayu, Cina dan India tentang tembelang Anwar. Masih ingatkah lagi dengan rancangan hendak menukar kerajaan yang sah pada 16 September 2008?
Pada satu majlis di Jakarta menjelang 16 September tahun berkenaan, Anwar dengan bangganya mencanangkan tarikh berkenaan untuk "merehatkan" Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
"Saya tetap pada target saya, 16 September menjadi waktu untuk mengistirehatkan Badawi. Untuk itu, saya rileks sebentar sehari lompat ke Jakarta, berdiskusi dan bertemu dengan sahabat-sahabat saya di Indonesia," kata Anwar yang dipetik oleh wartawan akhbar republik itu. Namun, semua itu hanya impian dan pembohongannya sehingga saat ini.
Apabila Anwar pergi ke depan orang Melayu, maka dialah "paling Melayu" dan habis 'disilatnya' kaum lain. Di depan orang Cina pula, dialah "Fong Sai Yuk" Malaysia yang berjuang demi kaum Cina di Malaysia dan habis 'dikungfunya' kaum lain, terutamanya Melayu.
Dan apabila tiba di depan orang India pula, dialah "hero tamil" paling hebat di Malaysia yang memperjuangkan bangsa India di Malaysia dan habis 'disilambamnya' kaum lain terutama orang Melayu dan Cina. Tak habis di situ saja, bila ke Sabah dan Sarawak, Anwar meneruskan "tarian talam 'bermuka-mukanya.'
Sebelum "janji TPM untuk Kit Siang" yang dilafazkan Anwar dalam wawancara dengan akhbar Sin Chew Jit Poh pada 26 November lalu, sebuah blog terkemuka Amerika The New Ledger telah melondehkan lagi tembelang Anwar di luar negara. Artikel blog pronegara Uncle Sam itu telah menyokong kenyataan bahawa sememangnya "Anwar adalah sesumpah".
The New Ledger mendedahkan betapa Anwar sebelum ini yang di dalam "pelarian" ke AS telah mewujudkan hubungan baik dengan tokoh-tokoh "American Jews" (Yahudi Amerika) seperti Paul Wolfowitz dan Al Gore. Anwar benar-benar "manis mulut" ketika itu. Begitulah akrabnya Anwar dan Yahudi.
Tapi itu adalah ketika Anwar di luar negara. Apabila Anwar kembali ke Malaysia, sikapnya berubah menjadi sebaliknya. Mungkin Anwar tahu bahawa budaya rakyat Malaysia yang tidak suka pada Israel (Yahudi). Maka Anwar terpaksalah bertukar "wajah" seakan-akan anti-Yahudi dan Amerika. Ketidakpuasan hati mereka terhadap Anwar itu diterjemahkan oleh The New Ledger sebelum ini.
Ketika Anwar aktif bersama Abim dahulu, dia dijangka menyertai Pas. Malah Anwar merupakan anak angkat kepada Allahyarham Yusof Rawa, seorang tokoh Pas yang terkenal. Namun, apabila masuk UMNO atas undangan Tun Dr Mahathir Mohamad, dia dikatakan "memujuk" rakan-rakannya dalam Abim dan Pas dengan mengatakan bahawa kemasukannya ke dalam UMNO adalah untuk "memutihkan" UMNO.
Kini, Anwar beralih arah kepada Kit Siang pula.
Bagi Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim, Anwar boleh berjanji apa sahaja.
"Saya tidak terfikir Kit Siang tertarik dengan janji-janji kosongnya itu yang semata-mata untuk menarik sokongan masyarakat Cina serta demi habuan politiknya sendiri.
"Saya percaya Kit Siang di sini hanyalah sekadar 'kayu api politik' Anwar sahaja," kata Rais.
Dan seperti mana diharapkan oleh Perdana Menteri di Pekan, Pahang Mei lalu:
"Terpulang kepada rakyat, yang penting rakyat tidak boleh telan bulat-bulat kerana dia (Anwar) dah berjanji macam-macam sebab nak kuasa."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA ULAS APA YANG ANDA BACA