Penulis kontroversial , Syed Hussein Alattas yang disaman oleh Cik Puan Aishah baru-baru ini akan mengemukakan saman-balas sekiranya tindakan oleh mantan Permaisuri Agong itu menjejaskan reputasi dan masa depannya.
Katanya, beliau sudah menyediakan pasukan peguamnya untuk meneliti dan menilai saman yang dikemukakan terhadapnya selaku defendan kedua dalam kes yang melibatkan anaknya, Syed Abdullah@ Uncleseekers selaku defendan pertama.
Syed Abdullah disaman oleh Cik Puan Aishah pada 2 Disember lalu ekoran penyiaran mengenai kisah mereka di laman blognya.
Injuksi untuk melarang sebarang penyiaran mengenai kisah mereka dalam mana-mana penerbitan akan didengar di Mahkamah Tinggi Temerloh pada 22 Disember ini.
Syed Hussein yang ditemui di kediamannya di Janda Baik, Ahad petang bagaimanapun segera menegaskan beliau bersedia dan lebih suka tidak mengambil sebarang tindakan sekiranya pihak plaintiff iaitu Permaisuri Aishah meminta maaf kepadanya kerana katanya, tidak ada sebab sebarang saman dikemukakan kepadanya.
"Saya tak buat apa-apa,.. wartawan bertanya meminta komen mengenai hubungan anak saya dan Cik Puan Aishah, saya berikan ulasan seperti yang dilaporkan, Itu sahaja,'' katanya yang mengakui beliau tidak meneliti langsung saman yang dikemukakan itu dan menyerahkan kepada pasukan peguam untuk menanganinya.
Syed Hussein berkata sekalipun agak terkejut dengan saman berkenaan bagaimanapun 'tidak goyah' sama sekali kerana beliau sudah berhadapan dengan kes-kes mahkamah yang lebih besar termasuklah didenda jutaan ringgit.
"Ini sikit punya hallah.... yang lepas-lepas lagi teruk... tapi saya masih hidup. Saya masih menulis dan saya masih bebas,'' katanya sambil merujuk kes saman yang dikemukakan oleh mantan Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam pada tahun 1987 ekoran penerbitan bukunya bertajuk Challenger.
Menurut Syed Hussein beliau menerima kunjungan Permaisuri Aishah dan keluarga dengan hati terbuka dan menunaikan hajat mereka untuk diperkenalkan kepada anaknya Uncleseekers.
Perkenalan berkenaan menjadi rentetan kepada pelbagai pertemuan dan perristiwa seterusnya dan beliau tidak lagi terlibat kerana Permaisuri Aishah hanya berurusan dengan anaknya.
"Saya terima mereka dengan baik, tetapi apa yang saya terima adalah notis saman,'' ujarnya dengan senyuman lebar tanpa menunjukkan sebarang reaksi runsing atau berdebar-debar.
"Saya dah biasa dengan kes-kes yang lebih besar.... ini 'ciput' je... katanya.
Syed Hussein berkata beliau sedia berhadapan dengan pelbagai kemungkinan tetapi lebih selesa jika kemelut itu dapat diselesaikan dengan damai.
"Apalah nak dipanjang-panjangkan...'' katanya lagi.
Apabila disebut bahawa ada yang beranggapan apa yang ditulis oleh anaknya dalam blognya mengaibkan Permaisuri Aishah yang mendorongnya mengambil tindakan undang-undang,Syed Hussein segera berkata sambil tertawa; "itu hal anak saya…yang saya kena saman, apa hal..?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA ULAS APA YANG ANDA BACA