Rayuan akan dikemukakan pada petang ini di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Peguam Umno, Datuk Hafarizam Ismail berkata pihaknya kini sedang mengadakan perbincangan lanjut dengan Setiuasaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berhubung rayuan berkenaan.
"Kami akan failkan rayuan petang ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur," katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada mStar Online sebentar tadi.
Mahkamah Tinggi di sini semalam memutuskan kekosongan kerusi DUN Kota Siputeh kosong selepas penyandangnya Datuk Abu Hassan Sarif tidak menghadiri dua persidangan DUN tahun ini.
Abu Hassan gagal hadir pada sidang DUN pada 19 April dan 9 Ogos lalu.
Permohonan mengisytiharkan kekosongan kerusi Kota Siputeh dibuat oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Datuk Dr. Abdul Isa Ismail.
Abdul Isa mengemukakan semakan kehakiman terhadap keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengekalkan Abu Hassan sebagai wakil rakyat di situ.
Hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin menegaskan SPR bertindak secara tidak wajar dan keputusan suruhanjaya itu bahawa Abu Hassan masih wakil rakyat bagi kawasan Kota Siputeh dan kerusi DUN itu tidak kosong, perlu dibatalkan.
Isu ini dibawa ke Mahkamah Tinggi berikutan SPR pada mesyuarat 1 September lalu memutuskan kerusi itu tidak kosong kerana pada pandangan suruhanjaya itu, Abu Hassan perlu dirujuk ke Jawatankuasa Tatatertib DUN Kedah terlebih dahulu sebelum kerusi itu disahkan kosong.
Dalam pada itu Hafarizam yang mewakili Abu Hassan berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Seri Shafie Afdal sebelum mengemukakan rayuan.
"Saya akan berjumpa dengan Datuk Shafie petang ini (sebelum ke mahkamah)," katanya.
Sementara itu BERNAMA melaporkan, Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata Umno akan mengemukakan rayuan supaya kes itu didengar semula.
"Kita hormati keputusan mahkamah dan kita telahpun maklumkan anggota DUN tersebut supaya hormati keputusan itu tapi dalam pada itu kita tegaskan bahawa kita akan merayu kepada pihak mahkamah supaya kes itu didengar semula," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan kementerian itu di Institut Kemajuan Desa (Infra), di sini hari ini.
Katanya lagi Umno sentiasa bersedia sekiranya terpaksa menghadapi satu lagi pilihan raya kecil ekoran keputusan mahkamah itu.
"Dari peringkat awal lagi kita dahpun susun atur setiap gerak jentera yang ada di semua bahagian di negeri Kedah dan kita dah membuat kerangka dan struktur persediaan termasuk bagi menghadapi sebarang pilihan raya kecil, katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA ULAS APA YANG ANDA BACA