“Inilah sikap sebenar mereka, menentang hukum Islam dan mahu menegakkan sebuah negara sekular semata-mata.
“Sikap toleransi dan hormat-menghormati tidak ada dalam prinsip perjuangan mereka,” katanya kepada mStar Online di sini pada Selasa.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang tidak bersetuju dengan cadangan untuk melaksanakan hukum hudud bagi menggantikan undang-undang sivil dalam menangani masalah jenayah dan sosial.
Karpal dilaporkan berkata, Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan bahawa hanya Kanun Keseksaan dan undang-undang sivil lain yang boleh digunakan, justeru tidak ada ruang untuk undang-undang hudud.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datoh berkata, rakyat perlu membuka mata dan menilai kebiadaban sikap pembangkang seperti DAP yang tidak faham dengan syariat Islam yang sebenar.
“Mereka perlu faham, hukum hudud hanya dilaksanakan ke atas orang Islam yang didapati bersalah dan bukan mudah untuk hukuman seperti potong tangan dilaksanakan. “Ada banyak perkara perlu diambilkira, DAP perlu sedar perkara sebegini mencerminkan sikap sebenar mereka terhadap agama Islam,” katanya.
Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasruddin Hassan Tantawi berkata beliau sedia bertemu dengan mana-mana pihak termasuk Karpal dan pemimpin veterannya, Lim Kit Siang bagi menjelaskan konsep hukuman hudud secara terperinci.
“Kita sedia bertemu dengan sesiapa sahaja termasuk pemerintah bagi menjelaskan bagaimana syariat Islam dan hukum hudud berperanan memulihkan peradaban yang kian runtuh hari ini.
“Sudah tiba masanya untuk Islam dan syariatnya dilaksanakan. Kenapa mahu menolak sedang masyarakat dan negara belum menyaksikan bagaimana syariat Islam beroperasi membetulkan segala sistem nilai dan maruah bangsa yang tercalar teruk pada hari ini,” katanya.
Nasrudin berkata, Islam bukanlah sekadar menjalankan hukuman semata-mata tetapi penyelesaian secara bestari dan berhikmah serta mempunyai pakej penyelesaian yang cukup baik bermula daripada pendidikan, pembentukan minda dan peribadi, pencegahan, pemantauan, alternatif seterusnya hukuman setimpal.
"Hukuman berat tidak menjamin keberkesanan seperti hukuman gantung sampai mati ke atas pengedar dadah.
"Biarpun hukuman itu keras dan berat, namun realitinya pengedaran dadah semakin berleluasa," katanya.
Baru-baru ini Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mencadangkan supaya perlaksanaan syariat Islam dan hukum hudud dijalankan, pelbagai pihak sibuk mencari formula bagaimana mahu mengatasi kemelut sosial yang parah ini.
DAP terang2 kafir, tapi LEMBU UMNO yg mengaku ISLAM pun tolak mentah2 DASAR ISLAM
BalasPadam