Siti Badariah ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Gulang-Gulang di sini, berkata anaknya mengenali Abdul Aziz, 64, sejak bekas ADUN itu menjadi wakil rakyat di kawasan Permatang.
“Dulu pun orang ingat dan cakap anak saya ada hubungan istimewa dengan Datuk Aziz, tetapi hubungan mereka sebenarnya tidak lebih daripada majikan dengan pekerja saja. Sebagai kerani atau pembantu khas, mestilah kena ikut bos. Anak saya ada harta sendiri dan tak kacau orang.
“Arwah kerja keras siang malam. Kejadian ini seperti kes bunuh dan saya minta polis siasat segera," katanya.
Abdul Aziz dan Siti Rohana ditemui mati dengan kesan tembakan di kepala dalam kereta yang terbabas di Lebuh raya Utara-Selatan berhampiran Sungai Buloh pada jam 11 pagi kelmarin.
Ismat yang ditemui pula berkata setahunya Siti Rohana tidak pernah menerima sebarang ugutan.
Sambil menyifatkan kejadian itu sebagai suratan takdir, Ismat juga berkata, beliau tidak pernah mengambil tahu mengenai urusan peribadi anaknya, tetapi tahu hubungan arwah dan bekas suaminya, Abdul Aziz Hamim, 43, masih baik walaupun sudah lima tahun berpisah.
Katanya, beliau akan berbincang dengan Abdul Aziz mengenai hal berkaitan tiga anak arwah, iaitu Izati Natasha, 19; Iliani Nazira, 14 dan Mohd Izat Emir, sembilan tahun.
Ketiga-tiga anak arwah juga dikatakan masih trauma dengan kejadian yang menimpa ibunya. Izati menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Iliana belajar di tingkatan empat Sekolah menengah Kebangsaan Datuk Harun dan Mohd Izat di darjah tiga Sekolah Kebangsaan Tanjung Karang.
Sementara itu, Norazian ketika ditemui di kediamannya di Seksyen 9, di Shah Alam, meminta semua spekulasi mengenai hubungan ayahnya dengan Rohana dihentikan demi menjaga perasaan ibunya, Siti Fatimah Mohd Noor, 62.
“Ibu masih dalam keadaan terkejut dan saya berharap pihak media tidak memperbesarkan hal ini bagi menjaga perasaan keluarga kami.
"Allahyarham berkahwin dengan ibu selama 41 tahun. Sepatutnya kelmarin kami sekeluarga membuat kenduri tahlil dan membersihkan kubur arwah datuk serta nenek seperti sebelum ini, sebaliknya kejadian lain yang berlaku," katanya.
Beliau menyifatkan Allahyarham sebagai bapa yang bertanggungjawab dan tidak menunjukkan apa-apa perubahan sebelum kejadian itu.
Mengenai senjata api milik Allahyarham, Norazian berkata: "Allahyarham mempunyai lesen senjata dan meminati aktiviti menembak. Ia juga difahamkan sebagai perlindungan sejak menjadi ADUN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA ULAS APA YANG ANDA BACA