Antara yang boleh direnungi dari kemenangan berganda BN di Galas dan Batu Sapi adalah apabila semua bekerja dalam satu pasukan, BN menang.
Itu mesej Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, dalam kenyataan terima kasihnya kepada semua pihak yang terlibat dengan kedua-dua pilihanraya itu.
"Semua telah menunjukkan semangat sepasukan yang tinggi untuk mencapai kejayaan walau menghadapi saingan begitu sengit sekali," kata beliau yang sedang bercuti sakit.
Di Galas, tiada perayaan besar-besaran berikutan kemenangan BN dalam pilihanraya kecil itu.
Pada mereka yang hadir di pusat perjumlahan undi di Dewan Sivik Gua Musang, suasananya meriah dan ceria walaupun sederhana.
Tidak ada sorak menyorak, cuma riak kegembiraan jelas terpancar dari wajah pemimpin BN yang diketuai oleh Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Di luar dewan, ada percikan bunga api yang menerangi malam di Gua Musang, sayangnya tidak ramai penyokong BN apatah lagi PAS menyaksikannya.
Ini berikutan hujan yang turun sejak pukul 7.00 malam, menyebabkan penyokong kedua-dua parti tidak memenuhi padang yang disediakan untuk mereka berkumpul.
Aroma kemenangan BN di Galas sebenarnya dirasai lebih awal, seawal pusat pengundian ditutup jam 5.00 petang.
Di Bukit Cekati, yang menempatkan Balai Rakyat dan pajabat UMNO Gua Musang, petugas dan jentera parti bersalaman, berpelukan sesama sendiri.
Masing-masing mengucapkan tahniah dan ketawa puas membayangkan kemenangan calon BN Abdul Aziz Yusoff.
Jam 6.00 petang, wartawan dimaklumkan Tengku Razaliegh Hamzah akan buat sidang media di rumahnya setengah jam selepas pengumuman rasmi SPR.
“Nampak macam BN yakin menang…” kata seorang kawan media yang sudah 10 hari berkampung di Gua Musang ini.
Jam 7.15 malam, keputusan 10 dari 26 saluran diumumkan, dan BN mendahului dengan majoriti 695 undi.
Dalam dewan, sedikit demi sedikit pemimpin BN mula masuk, hinggakan kerusi yang disediakan tidak cukup dan diambil dari tempat untuk pemimpin pembangkang yang tidak nampak batang hidung.
Turut serta Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan, Setiausaha Kerja Datuk Rauf Jusof, Ketua Penerangan Wanita Datuk Hamidah Osman dan pemimpin parti komponen BN.
Masing-masing rancak bercerita tentang kemenangan di peti undi yang mereka jaga. Tidak lama kemudian SPR umum lagi 10 saluran jadi 20 yang rasmi tinggal enam sahaja lagi masih dijumlahkan.
BN mendahului dengan majoriti lebih 800.
“BN menang undi Cina di semua tempat termasuk Kampung Baru,” kata Naib Presiden MCA Datuk Dr Ng Yen Yen kepada wartawan.
Jelas beliau gembira kerana beliau juga Ketua MCA Kelantan. Kemenangan ini kemenangan peribadi baginya.
Apaila keputusan rasmi diumumkan, suasananya meriah, wartawan macam biasa sibuk ke sana ke mari dapatkan komen itu ini.
Seketika kemudian, mereka bergegas pula ke rumah Ku Li, yang jaraknya lebih kurang lima kilometer dari Dewan Sivik.
Berhampiran jalan ke pejabat UMNO Gua Musang, ada sekumpulan remaja yang bersorak di tepi jalan sambil mengibarkan bendera BN kepada kereta yang lalu lalang.
Di rumah banglo putih Bukit Cekati, sudah ada Presiden KAFA, Tan Sri Anuar Musa duduk bersebelahan dengan Ku Li.
Berborak, sambil menunjukkan kertas keputusan dengan maklumat yang lebih terperinci.
“Kita menang semua undi saluran 4 (pengundi muda) termasuk di Sungai Terah,” kata Anuar Musa pada Ku Li yang baru lepas berbual telefon dengan Tan Sri Muhyyidin Yassin dan Datuk Seri Musa Aman.
Saling mengucapkan tahniah antara satu sama lain.
Tidak lama kemudian, YB yang baharu diisytiharkan, Abdul Aziz Yusoff, datang berpayung dengan Mustapa Muhamed. Ku Li dan yang lain keluar menyambut mereka.
Semuanya riang gembira. Semuanya telah berkerjasama dengan baik sekali untuk memastikan BN merampas kembali Galas.
Seperti nyanyikan kartun yang menjadi kegilaan kanak-kanak, Wonderpets, “Apa yang penting kerjasama.. Apabila bekerjasama semua jadi mudah…”
Kata Najib dalam kenyataan medianya lagi, jentera BN yang dipimpin timbalannya, Muhyiddin yang telah bekerja dengan penuh semangat dan menunjukkan komitmen yang begitu kental sehingga mencapai kejayaan di luar jangkaan sama sekali.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Ku Li kerana menjadi pengarah jentera pilihan raya BN di Galas selain Musa Aman yang mengetuai jentera pilihan raya BN di Batu Sapi.
Rasa yang sama turut dipanjangkan kepada Mustapa Mohamed dan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang masing-masing turut bertungkus-lumus membantu di Galas dan Batu Sapi.
Kemenangan ‘double joy’ ini sudah tentu amat bermakna bagi Najib yang berkerja keras memulihkan sokongan rakyat terhadap BN selepas tsunami 2008. Ini merupakan tanda awal bahawa kepimpinan, misi dan visi beliau diterima rakyat Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA ULAS APA YANG ANDA BACA