Kurangkan cakap politik, mari tangani cabaran ekonomi negara
LETIH... hari-hari ada saja pergolakan politik. Jangan lupa, dalam beberapa hari lagi, genap setahun wakil-wakil rakyat diberi amanah oleh pengundi.
Tapi dalam tempoh setahun ini banyak perkara yang tidak dijangkakan telah berlaku. Hakikatnya, tiada hari tanpa kisah politik.
Situasi politik tanah air masih membara dan ada masa membakar semangat anak watan. Jika tak dikawal, boleh bertukar jadi bencana.
Aksi-aksi demonstrasi jalanan sudah kembali seperti di depan Istana Kuala Kangsar. Kita harap ia tidak menjadi aksi setiap minggu. Jika tidak, rakyat akan bertambah bimbang dan risau dengan suasana kancah politik negara. Tak payah kita ikut rentak politik demonstrasi seperti negara jiran.
Sesetengah rakyat sudah mula merasa bosan dan meluat bila melihat bahawa agenda politik kini sudah mengatasi hal ehwal kehidupan rakyat.
Paling teruk, ia membawa politik negara menjadi tidak stabil. Lihat bagaimana pemimpin politik parti pembangkang mula menunjukkan belang mereka. Selepas buat kecoh di dalam Dewan Rakyat, budaya biadab dijelmakan di peringkat negeri dengan per cubaan mengheret Sultan Perak ke mahkamah.
Hari-hari orang politik atau orang biasa bercakap tentang politik wang, politik perkauman, fitnah. Cerita terbaru, mereka menganalisis cerita skandal seks atau gambar bogel orang politik.
Apa pun wakil rakyat kena ingat, bukan semua rakyat di kawasan yang diwakili memilih mereka. Jangan kita pandai-pandai mengatakan banyak pengundi kini sokong gabungan parti pembangkang atau kerajaan.
Hakikatnya ramai juga rakyat yang tidak keluar mengundi atau menjadi pengundi. Banyak alasan dan sebab boleh diberi. Tambahan pula keadaan politik negara seperti sekarang, rasa menyesal mereka yang keluar mengundi tidak siapa yang tahu.
Apa yang berlaku di Perak, Bukit Selambau, Kedah dan Bukit Lanjan, Selangor merumuskan bahawa sesetengah wakil rakyat yang dipilih rupanya berdasarkan 'tangkap muat'. Jadi yang dipilih tidak berkualiti, tidak berprinsip, tidak bermoral - bukan pejuang tetapi pengambil peluang.
Kecewa dan hancur hati rakyat yang mengharapkan pemimpin itu orang yang berwibawa, berkualiti dan jelas perjuangannya.
Sebab itu, semua pemimpin politik diminta ubah perangai. Jangan ikut kata hati dan nafsu. Jangan asyik berpolitik siang dan malam. Orang politik bergaduh, tapi tetap hidup senang. Yang susah ialah rakyat.
Rakyat inginkan kestabilan dan kemakmuran. Mereka inginkan negara ini mencapai Wawasan 2020.
Jadi semua pemimpin politik, cuba berfikiran matang. Jangan asyik memikirkan cara untung rebut kuasa. Biarlah apa yang berlaku menjadi pengajaran. Kurangkan politiking. Cukuplah perhitungan kepimpinan di kertas undi dan bukan di atas keupayaan membeli serta dibeli.
Setiap pemimpin politik baik kerajaan atau pembangkang kena insaf. Apa yang mereka sudah capai dalam memenuhi janji-janji kepada rakyat. Apa yang dibuat hampir setahun ini hanya menimbulkan pergolakan demi pergolakan.
Kita sedang bergelut memikirkan bagaimana untuk menghadapi masalah ekonomi yang melanda seluruh dunia. Malangnya, ada pemimpin-pemimpin yang tidak sudah-sudah dengan politiking, macamlah pilihan raya diadakan tahun ini.
Pakej rangsangan ekonomi dalam mini bajet yang akan dibentangkan bulan depan pun tidak banyak mendapat reaksi. Belum terdengar satu forum atau seminar bakal diadakan bagi membincangkan cabaran ekonomi sekarang.
Kalau negara maju bertungkus lumus mencari jalan membendung gelombang yang hampir menenggelamkan ekonomi mereka, apa yang telah kita lakukan untuk berdepan dengan cabaran ini?
Sejak suku ketiga tahun lalu, kita belum mendengar huraian jelas tentang strategi pemimpin-pemimpin politik kita untuk menghuraikan dengan panjang lebar perihal kegawatan ekonomi ketika bersidang di Dewan Rakyat. Yang dengar, mereka banyak bertekak atas perkara peribadi dan bukan soal rakyat.
Kemelesetan ekonomi sekarang sepatutnya menyedarkan ahli-ahli politik untuk memerah otak bagi memastikan ekonomi negara ini berdaya tahan dan kehidupan rakyat tidak terjejas. Bukan terus fikir merebut kuasa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA ULAS APA YANG ANDA BACA