Ketuanya, Nasruddin Hassan Tantawi (gambar) berkata, ketika Pas mengambil pendirian untuk memperkukuhkan kerjasama dalam pakatan rakyat, parti itu perlu bersikap terbuka bagi mengadakan perbincangan dengan sesiapa sahaja.
''Ini mengingatkan bagaimana Nabi Musa dihantar untuk berjumpa dengan Firaun. Saya berharap kita dapat mengembangkan dakwah kepada sesiapa sahaja untuk mengembangkan Islam dan seterusnya mampu memimpin perubahan,'' katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika menggulung perbahasan pada hari terakhir Muktamar Tahunan Pas ke-55 di Stadium Malawati di sini hari ini.
Nasruddin bagaimanapun berkata, pihaknya tetap mengambil kira ingatan yang diberikan oleh perwakilan Kelantan tentang sikap UMNO terhadap Pas yang mereka kenali selama ini.
Justeru katanya, sayap parti itu bertekad untuk melaksanakan sekurang-kurang 103 perkara penting perubahan yang perlu dilakukan oleh Pas sebagaimana digariskan oleh Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam ucapan dasarnya semalam.
''Kami berikrar, Pemuda Pas akan menjadi rijal al-taghyir (pemuda merubah), jika Presiden bertanya di manakah penolong ku, maka kami akan menjawab 'Nahnu ansarullah' (kamilah pembantu-pembantu Allah)," katanya.
Beliau menjelaskan, sayap parti yang dipimpinnya tidak sekali-kali akan menjatuhkan air muka atau mencemar air muka Mursyidul Am dan Presiden parti kerana kedua-duanya didukung oleh semua ahli Pas.
Selain itu, katanya, Pemuda Pas akan bertindak mengadakan proses semak dan imbang terhadap kerajaan yang dipimpin pakatan rakyat bagi memastikan ia memenuhi tuntutan Islam dan harapan rakyat.
Tegas beliau, pihaknya akan memastikan ketulenan manhaj Islam dan identiti gerakan Islam yang berasaskan dakwah, tarbiyah dan siasah dapat dilaksanakan dalam parti itu.
''Kita akan pasti Pemuda akan bersifat fundamental daripada segi prinsip perjuangannya, kontemporari dari segi kepimpinan dan futuristik dari segi persiapan,'' katanya.
Namun Wakil Muslimat Pas, Siti Zailah Yusof mahu sebarang usaha untuk menjalin kerjasama dengan UMNO ditolak sama sekali kerana Pas sudah mampu berdikari bagi memajukan rakyat di negara ini.
Dalam ucapan penangguhan, katanya, Pas tidak perlu menjadi khadam sebaliknya kerjasama dengan parti-parti yang bergabung dalam pakatan pembangkang mesti diperkasakan.
''Inilah inisiatif yang perlu dilakukan oleh barisan kepimpinan parti kerana usaha tersebut bukan sahaja mengukuhkan negeri-negeri yang sudah ditawan malah dapat menawan negeri-negeri lain daripada kuasa Barisan Nasional (BN),'' jelasnya.
Siti Zailah juga meminta supaya gagasan kerajaan perpaduan dikaji dengan lebih teliti sebelum sebarang keputusan muktamad mengenainya diambil.
''Usaha mendalami perlu dilakukan supaya kita tidak memberi mesej yang salah kepada ahli serta rakyat,'' tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA ULAS APA YANG ANDA BACA