Tegas Perdana Menteri, keseluruhan persidangan DUN itu nanti sudah semestinya akan dijalankan mengikut segala peraturan dan prosedur yang ditetapkan.
Tambahan pula, kata beliau, kerajaan negeri sedia ada yang dikuasai Barisan Nasional (BN) sudah sah ditentukan mengikut saluran undang-undang.
''Walaupun masih ada lagi proses undang-undang yang belum selesai tetapi kita mesti menghormati keluhuran perlembagaan.
''Perkara ini sudah ditentukan, jadi tidak ada sebab (pembangkang) boleh melakukan sebarang gangguan atau perbuatan yang boleh menimbulkan keadaan tidak begitu baik dari segi pandangan umum terhadap politik di negeri ini," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan perjumpaan dengan UMNO Perak di sini hari ini.
Sidang akan datang dijangka kecoh setelah 28 wakil rakyat pembangkang mengesahkan untuk hadir atas notis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, V. Sivakumar dan bukannya notis oleh Speaker, Datuk R. Ganesan.
Mengulas lanjut, Najib berkata, segala tindakan ke atas wakil rakyat yang membuat kekecohan pada sidang itu juga akan dibuat berdasarkan undang-undang.
Beliau turut berharap agar rakyat negeri ini dapat menerima segala proses undang-undang yang telah dan sedang berjalan ekoran situasi politik di Perak.
''Ini termasuklah perkara yang melibatkan proses pembentukan kerajaan negeri dan proses mahkamah secara keseluruhannya.
''Jangan lupa, titik permulaan ke atas segala perkara ini adalah apabila mereka (pembangkang) mencuri salah seorang ADUN kita (BN). Mereka yang mulakan dahulu, bukan kita," katanya.
Mengenai perjumpaan dengan UMNO Perak, beliau berkata, antara perkara yang ditegaskan ialah betapa pentingnya pemimpin UMNO di peringkat negeri, bahagian dan cawangan menterjemahkan perubahan sebagaimana yang dilakukan pucuk pimpinan parti.
Katanya lagi, pada majlis itu, beliau turut melancarkan lagu UMNO Perak yang disifatkannya sebagai sangat menarik serta mampu menyuntik semangat ahli-ahli.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA ULAS APA YANG ANDA BACA