KEPUTUSAN rasmi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kawasan N31 DUN Bagan Pinang telah pun diketahui. Barisan Nasional (BN) telah menang dengan majoriti yang besar mengalahkan musuh tradisi, Pas yang mencuba nasib bertanding di kawasan kubu kuat UMNO/BN sejak sekian lama.
Calon UMNO yang mewakili BN, Tan Sri Mohd Isa Samad mendapat 8,013 undi mengatasi calon Pas, Zulkefly Mohd Omar yang mendapat undi hanya 2,578 dengan majoriti besar sebanyak 5,435 undi. Pertambahan undi majoriti meningkat sebanyak 3,102 undi dibandingkan dengan undi majoriti dalam pilihan raya umum 2008 iaitu sebanyak 2,333 undi.
Kemenangan besar BN ini dapat disimpulkan dengan beberapa faktor utama yang menjadi teras kejayaan BN mengekalkan kerusi DUN Bagan Pinang ini.
Pertama, calon UMNO/BN kali ini, Tan Sri Mohd Isa Samad merupakan seorang tokoh yang amat dikenali, popular dan terbukti mampu menjadi wakil rakyat yang baik apatah lagi beliau juga merupakan mantan Menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun. Beliau telah banyak berjasa dan berbudi khasnya di Bagan Pinang.
Kedua, jentera parti BN yang berusaha tanpa mengenal erti penat dan lelah, siang dan malam berkempen, berjumpa pengundi dan semangat permuafakatan antara ahli-ahli UMNO dan parti komponen bergerak bersama-sama memenangi hati pengundi.
Ketiga, rakyat sudah mulai sedar dan sudah dapat menilai antara BN dan pembangkang, siapakah yang paling terbaik untuk diberi mandat mewakili mereka dan mampu untuk mengotakan janji-janji yang dibuat semasa tempoh berkempen. Rakyat sendiri dapat melihat dan menilai prestasi kerajaan pembangkang yang mengetuai kerajaan negeri Selangor, Kedah, Kelantan dan Pulau Pinang. Banyak isu yang timbul walaupun baru diberi peluang memerintah tidak sampai dua tahun.
Keempat, provokasi yang cuba dimainkan oleh parti pembangkang hanya “menikam” diri sendiri. Ini dibuktikan dengan calonnya mendapat penurunan undi yang begitu ketara sekali dibandingkan dengan undi yang diperolehi pada PRU 2008.
Kelima, sokongan pengundi pos yang terdiri dari anggota tentera, polis dan keluarga mereka menunjukkan peningkatan yang drastik. Kalau dalam PRU 2008 yang lalu, lebih seribu undi pos telah memihak kepada pembangkang, tetapi kali ini hanya sekitar enam ratus lebih sahaja undi yang memihak kepada pembangkang.
Keenam, rakyat di Bagan Pinang khasnya sudah muak dengan isu-isu yang dibawa oleh pembangkang dalam kempen mereka. Isu yang dimainkan adalah skrip lama yang digunakan dalam siri-siri pilihan raya kecil yang lalu.
Ketujuh, Bagan Pinang simbol gagasan 1Malaysia kerana komposisi kaum di kawasan ini hampir menyamai komposisi kaum di Malaysia. Kejayaan UMNO/BN di Bagan Pinang menunjukkan bahawa konsep yang dibawa oleh Perdana Menteri dapat diterima dan disokong oleh semua kaum.
Kelapan, sokongan undi kaum minoriti di Bagan Pinang yang terdiri daripada India (21 peratus) dan Cina (11 peratus) menunjukkan peningkatan. Sokongan mereka telah beralih kepada BN yang dipercayai mampu untuk menjaga kepentingan semua kaum dengan penuh keadilan dan seimbang tanpa mengira kaum.
Kemenangan besar UMNO/BN di Bagan Pinang ini membuktikan rakyat sudah mulai sedar dan menolak konsep dan dasar perjuangan yang dibawa oleh pembangkang. Isu-isu yang timbul di negeri-negeri yang dikuasai pembangkang memperlihatkan ketidakmampuan mereka untuk memerintah.
Memetik kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak: “Kalau kita hendak tadbir sebuah negeri apatah lagi di peringkat nasional, kita harus punya pendirian bersama dari segi prinsip dan ideologi walaupun ada sedikit perbezaan pendapat tetapi dari segi fundamentalnya, ia mesti boleh diterima.”
Tambah beliau lagi, “Nampaknya keadaan ini tidak wujud di Selangor. jadi sama ada keadaan ini boleh berterusan dalam bentuk gabungan di kalangan parti pembangkang seperti mana sekarang ini, kita tunggu dan lihat,” katanya.
Bukan saja di Selangor, ketidaksepakatan antara parti PKR-Pas dan DAP juga dilihat berlaku di Kedah, Pulau Pinang dan Perak (sebelum di perintah oleh BN). Bagaimana mereka hendak memerintah negeri dan negara sekiranya “tidur bersama” tetapi berlainan “bantal” dan “mimpi” yang berbeza.
Pernahkah sebelum ini kita mendengar kata-kata yang kurang menyenangkan dilemparkan dalam Persidangan DUN yang mulia seperti mana berlaku di Pulau Pinang, “BN Perompak”, di Kedah “Paria” dan satu ketika dulu heboh dengan kata-kata nista daripada Ahli Parlimen Bukit Gelugor yang mengatakan “Pemuda UMNO celaka”.
Bagan Pinang diharap pencetus kebangkitan UMNO/BN ke arah kestabilan politik dan kemakmuran negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA ULAS APA YANG ANDA BACA