Meskipun menang pada pilihan raya ciptaan mereka, dengan memperoleh sebanyak 6,052 undi, sokongan untuk PKR sebenarnya berkurangan 1,294 daripada apa yang diperoleh pada Pilihan Raya Umum 2008 iaitu 7,346 undi.
PKR mungkin berbangga dengan majoriti besar yang diperoleh calonnya, Mansor Othman iaitu 5,558 undi berbanding 2,219 undi pada pilihan raya lalu, tetapi itu bukan ukurannya kerana sokongan kepada parti itu merosot. Dengan ketiadaan calon Barisan Nasional (BN), majoriti itu tidak memberi sebarang makna terhadap kemenangan PKR.
Mana mungkin boleh membandingkan majoriti PKR apabila calonnya menang ke atas tiga calon Bebas, melainkan BN meletakkan calon. PKR terjerat dengan permainan mereka sendiri.
PKR juga mensasarkan 70 peratus daripada 15,384 pemilih akan keluar mengundi, tetapi sasaran mereka ternyata meleset apabila hanya 46.15 peratus atau 7,101 pemilih menunaikan hak mereka. Pada pilihan raya umum lalu, peratusan mengundi bagi DUN Penanti ialah 82.07 peratus.
Ini satu rekod baru dalam sejarah pilihan raya di negara ini setelah rekod DUN Telang Usan pada Pilihan Raya Umum Sarawak pada 2006 iaitu 52.6 peratus, dipadam oleh Penanti.
Agak menarik untuk diperkatakan kenapa peratusan mengundi begitu rendah bagi pilihan raya kecil ini. Adakah ia membawa maksud orang ramai termasuk penyokong PKR sudah muak dengan pemimpin mereka sehingga memboikot dengan tidak keluar mengundi?
Salah satu faktor sudah tentu disebabkan penyokong BN tidak keluar mengundi kerana parti itu tidak meletakkan calon. Tetapi, persoalannya ke mana perginya penyokong PKR? Jika Mohammad Fairus memperoleh 7,346 undi, kenapa pula Mansor hanya memperoleh 6,052 undi?
Ke manakah perginya 1,294 undi yang sebelum ini menyokong PKR? Seramai 942 pengundi memilih calon Bebas dan selebihnya tidak mengundi serta mungkin bertukar kawasan pilihan raya.
Tetapi, secara mudahnya, penyokong PKR sudah mula beralih angin dengan tidak lagi menyokong parti itu walaupun Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, saban hari mendakwa Pakatan Rakyat semakin mendapat sokongan dan BN pula semakin hilang pengaruh.
Bagi penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Sivamurugan Pandian, keputusan pilihan raya kecil itu sememangnya satu tamparan hebat kepada PKR kerana sering melaung-laungkan kononnya sokongan PKR selepas tsunami politik pada Mac 2008, terus meningkat.
Bagaimanapun, katanya, keputusan pilihan raya kecil Penanti tidak membuktikan dakwaan mereka, sebaliknya menunjukkan bahawa sokongan terhadap parti itu semakin terhakis.
“PKR berharap pilihan raya kecil Penanti menjadi kayu ukur untuk menunjukkan sokongan terhadap BN semakin terhakis dan BN semakin hilang kuasa, tetapi itu tidak berlaku,” kata Timbalan Dekan Pasca Siswazah dan Penyelidikan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM itu.
Pada masa sama, beliau tidak menolak kemungkinan kemerosotan undi PKR disebabkan ada penyokong parti itu yakin Mansor akan menang dan sudah selesa dengan kedudukan itu, lalu tidak keluar mengundi.
Apa yang nyata, tindakan PKR yang mahu mencipta gelombang pilihan raya kecil sudah disedari dan tidak disenangi rakyat kerana tidak mendatangkan faedah terutama dalam keadaan negara yang dilanda kegawatan ekonomi global.
PKR perlu sedar bahawa rakyat sudah bosan dan muak dengan tindakan parti itu yang 'memaksa' Mohammad Fairus meletak jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Penanti, kira-kira seminggu setelah melepaskan jawatan Timbalan Ketua Menteri I.
Rakyat sudah sedar keputusan Mohammad Fairus melepaskan jawatan Adun adalah semata-mata untuk memberi laluan kepada Mansor memegang jawatan nombor dua dalam kerajaan negeri. Lantaran itu, mereka menggunakan kuasa yang ada untuk menunjukkan apa yang dilakukan itu tidak rasional dan tidak boleh diterima.
Umno Pulau Pinang pula berpandangan apa yang berlaku kerana rakyat menolak pendekatan PKR yang dengan sewenang-wenangnya memaksa diadakan pilihan raya kecil yang tidak perlu.
Timbalan Pengerusi Umno negeri, Datuk Zainal Abidin Othman, menjelaskan pengundi sudah memberi mesej yang jelas kepada PKR terhadap tindakan mereka yang tidak menghormati keputusan dan mandat rakyat pada 2008.
“Mereka tidak suka dipermainkan dan enggan diheret sama mengikut rentak permainan Pakatan Rakyat yang hanya tahu menyusahkan rakyat dengan mengadakan pilihan raya tanpa alasan kukuh. Rakyat sudah menunjukkan kuasanya.
“Rakyat sebenarnya tidak memerlukan pilihan raya kecil yang 'diwujudkan' tanpa alasan munasabah. Mereka mahu kerajaan termasuk kerajaan negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat supaya memfokuskan kepada usaha meningkatkan ekonomi serta menaik taraf kehidupan rakyat,” katanya.
Apa juga alasan yang bakal dilemparkan berikutan kemerosotan sokongan ke atas PKR selepas ini, sudah tentu BN akan dijadikan sasaran belasahan kepada 'kekalahan' sokongan itu, seperti dilakukan ketika tempoh berkempen seminggu lalu.
Sewajarnya, PKR menerima hakikat rakyat sudah muak dengan gelagat mereka, bukannya asyik menyalahkan orang lain di atas kesilapan sendiri.
hai..cakap org takut kalah ni le dia..% undi kecil mudah je, sbb ramai dah anggap PKR menang..tu yg malas nak ngundi.
BalasPadamMasa BN menang di Gaya pada 2002, % undi 44.17% je, ada BN merungut sangat..
Aku x faham le nape ko ni Kamal..haduhh