Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan akan menyiapkan laporan sosioekonomi dan politik di kawasan Manik Urai, Kuala Krai bagi membolehkan semua pihak termasuk Barisan Nasional (BN) merangka pelan untuk meningkatkan taraf hidup penduduk di situ.
Menterinya Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata laporan itu dijangka siap sebelum hari penamaan calon bagi pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Manik Urai 6 Julai ini.
"Kami di kementerian akan melihat keadaan di Manik Urai secara lebih dekat dan akan menyiapkan laporan sosioekonomi dan politik bagi kegunaan pihak tertentu," katanya kepada pemberita selepas majlis pertemuan pegawai dan kakitangan kementerian itu di RTM di sini, hari ini.
Pilihan raya kecil DUN Manik Urai diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada PAS, allahyarham Ismail Yaacob pada 22 Mei lalu kerana sakit jantung.
Rais mengakui ujian getir akan dihadapi oleh BN untuk menawan hati penduduk di Manik Urai yang bakal mengundi bagi memilih wakil rakyat baru pada 14 Julai ini.
Katanya bagaimanapun rekod baik yang ditunjukkan BN selama memerintah negara sewajarnya menjadi perhatian utama pengundi di situ bagi membuat pilihan siapakah sebenarnya yang boleh membela nasib mereka.
"Saya yakin BN mampu menyusun gerak kerja yang berkesan dan mampu memberi nafas baru kepada rakyat di Manik Urai," katanya.
Sementara itu, Rais berkata kementerian itu akan menganjurkan pertandingan bagi mencungkil bakat baru dalam pelbagai bidang di negerinegeri Pantai Timur yang dijangka akan bermula bulan depan atau awal Ogos.
"Kementerian akan mencungkil bakat baru dalam bidang lawak, seni ukir atau berbentuk kebudayaan lain yang terdapat di negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan untuk diketengahkan kepada masyarakat negara ini.
"Mereka ini kemudiannya akan dibawa ke merata tempat bagi masyarakat luar mengetahui bakat seni mereka manakala bagi Sabah dan Sarawak juga akan diadakan juga program yang sama," katanya
bagi menang dulu..jangan layan sangat negeri kufur nikmat nih..kuasa nak, kerja tak nak buat..jual agama macam karipap tengah jalan..
BalasPadam