Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebaliknya kesediaan berkenaan haruslah disertakan dengan keikhlasan termasuk keseimbangan antara kehendak pentadbiran dan politik.
''Jangan apabila mahu bantuan Persekutuan baru kata sila buka pintu tetapi apabila berbincang tentang agenda bersama, dia (Nik Aziz) tutup pintu.
''Pemimpin kena konsisten. Biar ikhlas, jangan ada agenda tersembunyi,'' katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Kepimpinan Mahasiswa Islam 2009 di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas kenyataan terbaru Nik Abdul Aziz hari ini yang bersedia menghulurkan tangan dengan kerajaan Pusat bagi menjaga kepentingan rakyat Kelantan.
Sementara itu menurut Ahmad Zahid, kerajaan Pusat dalam soal ini terbukti ikhlas membantu rakyat Kelantan walaupun negeri berkenaan diperintah Pas.
Katanya, keikhlasan itu bukan setakat pembinaan sekolah dan universiti malah lebih besar daripada itu dengan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) sahaja, RM7.8 bilion diperuntukkan untuk pembangunan Kelantan.
''Kita (Barisan Nasional) banyak kali kalah pilihan raya di Kelantan dan pilihan raya kecil baru-baru ini pun kita kalah tetapi pernah kita tarik bantuan? Tak pernah tarik.
''Ertinya kita ikhlas membantu selama ini. Sekarang baguslah kalau Nik Abdul Aziz dapat cakap macam tu, tapi jangan lusa cakap lain pula. Kita dah lama kenal dia,'' jelasnya.
Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan meminta pemimpin mahasiswa Islam supaya menolak idealisme jumud sebaliknya terbuka menerima perbezaan pendapat.
Katanya, ini penting untuk membentuk umat Islam yang bersatu bagi mendepani cabaran yang lebih besar kerana dengan keterbukaan akan membolehkan tumpuan diberi kepada persamaan dan bukannya mencari perbezaan.
''Jangan kita anggap kita yang terbaik, orang lain tidak baik. Tidak mengapa kalau kita mahu terus berpegang dengan apa yang kita mahukan tetapi jangan sekali kita menolak pendapat orang lain. Biar kita berbeza pendapat secara beradab.
''Pengalaman saya di Lebanon dapat melihat bagaimana umat Arab di negara itu diporak-perandakan oleh bangsa Yahudi hanya kerana mereka menumpukan kepada perbezaan fahaman sedangkan ia hanyalah soal furuq (cabang).
''Kita mahu generasi Islam negara ini biar apa fahaman sekalipun tetapi apabila ada perkara yang melibatkan agenda bersama maka kita boleh duduk semeja mengenepikan perbezaan,'' katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA ULAS APA YANG ANDA BACA