KEPUTUSAN Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) N41 Manek Urai sudah pun diketahui. Pas berjaya mengekalkan wakilnya di DUN itu dengan hanya mendapat majoriti 65 undi sahaja. Calon Pas, Mohd. Fauzi Abdullah berjaya mendapat 5,348 undi mengatasi calon Barisan Nasional (BN), Tuan Aziz Tuan Mat yang memperolehi 5,283 undi, manakala undi rosak dicatatkan sebanyak 115 undi.
Jika kita tinjau dalam mana-mana pilihan raya kecil sebelum ini yang melibatkan pertembungan dua parti Melayu utama iaitu UMNO dan Pas yang bersaing di DUN dan kawasan itu diwakili oleh majoriti pengundi Melayu, peratusan tinggi dalam proses pengundian adalah sesuatu yang tidak perlu dihairankan terutamanya di negeri yang dikuasai oleh pembangkang.
Keputusan pilihan raya kecil ini memberi implikasi besar kepada kedua-dua parti yang bertanding. UMNO mewakili Barisan Nasional, dan Pas mewakili pakatan pembangkang.
Meskipun pada atas kertas kiraan rasmi, UMNO/BN telah tewas tetapi bukanlah tewas secara total walaupun dalam ilmu demokrasi, pihak yang mendapat lebih daripada satu undi pun akan diisytiharkan sebagai pemenang.
UMNO masih mampu menambahkan sokongan pengundi dengan amat ketara sekali. Bayangkan dalam pilihan raya kecil ini, Pas hanya menang dengan majoriti yang amat tipis sekali. Ini memberi satu petanda bahawa tidak mustahil dalam pilihan raya akan datang, keputusan akan berlaku sebaliknya.
Rakyat sudah mulai sedar dengan dakyah-dakyah yang cuba disebarkan oleh pembangkang tidak lebih retorik semata-mata yang tidak mencerminkan apa-apa pengharapan. Sekiranya pembangkang mampu untuk melaksanakan program-program untuk faedah dan kepentingan rakyat, mengapa tidak melalui siri-siri ceramahnya berjanjilah dengan rakyat, apa perancangan masa depan yang akan dilakukan untuk kepentingan dan faedah rakyat di Manek Urai dan di Kelantan secara amnya.
UMNO sebaliknya mampu untuk menterjemahkan apa yang dirancang. Oleh sebab itu pemimpin-pemimpin UMNO berani menawarkan perancangan-perancangan masa depan di DUN Manek Urai.
Pun begitu, pembangkang telah memanipulasinya dengan mengatakan kenyataan pemimpin-pemimpin UMNO berbaur ugutan. Akan dilaksanakan sekiranya BN menang. Misalan mudah, sekiranya kita melihat pengemis di jalanan, dengan penuh hiba dan perasaan kasihan kita hulurkan sumbangan tetapi pengemis itu menolaknya. Adakah kita masih mahu memaksa pengemis menerima bantuan ikhlas kita itu? Tepuk dada, tanyalah selera.
Rekod pencapaian BN telah terbukti dalam memerintah negara selama lebih 50 tahun. Malaysia yang dulunya tidak dikenali, sekarang telah berjaya meletakkan nama sebaris dengan negara-negara yang telah dulu mendapat kemerdekaan!
Pertambahan undi yang diraih oleh UMNO adalah berkadar langsung kesan daripada dasar-dasar yang telah diperkenalkan oleh Perdana Menteri meskipun baru beberapa hari yang lalu genap 100 hari menerajui negara.
Konsep 1 Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan dan pengumuman ‘11 hadiah rakyat’ tepat jam 11 pagi 11 haribulan yang lalu telah mula dirasai oleh rakyat keseluruhannya.
Atas kertas, Pas mungkin boleh berbangga dengan kemenangannya. Bagaimanapun UMNO juga mendapat ‘kemenangan’ dengan mengurangkan majoriti Pas melebihi 1,000 undi. Ini sesuatu yang amat teruja dengan mengambil kira keputusan satu pilihan raya kecil yang telah menjadi tumpuan jentera-jentera parti yang bertanding.
Apakah pola peningkatan undi kepada UMNO mampu menterjemahkan sesuatu? Apakah dengan kemenangan tipis Pas ini menunjukkan sokongan kepada Pas dan pakatan pembangkang keseluruhannya mulai pudar di kalangan pengundi Melayu hanya dalam tempoh kurang daripada dua tahun?
Sekiranya kena dengan strategi dan pelaksanaan konsep 1Malaysia dapat diterjemahkan dengan sebaik-baik dan seadil-adil mungkin, tidak mustahil UMNO/BN mampu menjana kegemilangan dengan menawan kembali hati rakyat untuk menyokong kerajaan sedia ada ke satu tahap yang amat memberangsangkan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 yang tidak dapat tidak akan menjelma jua satu hari nanti.
Macam ni lah...
BalasPadamDi dalam pertarungan, boleh diumpamakan pendekar Umno memiliki semua senjata seperti keris dan pedang, manakala lawan mereka Pahlawan Pas sehelai sepinggang bertempur. Dalam perlawanan tersebut, pendekar Umno terkangkang dengan mengalami luka-luka yang kecil tetapi tidak boleh bangun. Maka, Pahlawan Pas pun diistiharkan sebagai pemenang. Selepas itu, Pendekar Umno merangkak keluar dari gelanggang dan berkata kepada penonton bahawa `memang Pahlawan Pas Menang, tapi Aku Berjaya" katanya. Salah seorang penonton pun bertanya," Kenapa engkau kata begitu?". Pendekar Umno pun menjawab," Sebab, dulu aku terkangkang gak, tapi luka aku lagi parah, tapi kali ini luka aku kecik je...". Agak-agak kalau tuan-tuan sebagai penonton di situ mahu tak terguling-guling ketawa? Kalau aku ada kat situ, aku akan pujuk pendekar Umno tersebut. Paling tidak aku akan kata," Betul, memang betul engkau berjaya,...berjaya kelentong!!"