ADALAH sesuatu yang melegakan apabila Datuk Nik Abdul Aziz Nik Nik Mat meminta supaya perselisihan pendapat di kalangan pemimpin politik terutama antara UMNO dan Pas sewaktu kempen Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Manek Urai baru-baru ini dilupakan.
Murysidul Am Pas itu mahu kedua-dua pihak kembali semula kepada semangat persaudaraan sesama Islam.
"Seperti mana biasa, pertembungan pendapat dan idelogi timbul pada saat-saat menjelang pilihan raya," katanya.
Kenyataan ini sememangnya melegakan kita kerana itulah yang diharapkan oleh orang Melayu selama ini tanpa mengira apa pun fahaman politik. Selama ini apabila hendak diwujudkan usaha bagi menyatukan orang Melayu pelbagai penentangan dapat dilihat, ada antaranya datang daripada pemimpin Melayu sendiri.
Kelompok tersebut lebih melihat kepada kepentingan politik kepartian berbanding memberikan isyarat bahawa orang Melayu mampu bersatu. Akibat sikap seumpama itulah, pihak-pihak lain sudah tidak lagi melihat orang Melayu sebagai kumpulan yang perlu digeruni.
Kita hanya mampu melihat sahaja apabila mereka membuat tuntutan bukan-bukan malah ada antaranya mempertikaikan institusi-institusi yang terajunya adalah orang Melayu. Mereka menuduh macam-macam terhadap institusi tersebut seolah-olah hendak menampakkan apa juga institusi yang dikuasai oleh orang Melayu mempunyai seribu satu kelemahan.
Apa yang mengecewakan, apabila tuduhan mereka mendapat sokongan daripada sesetengah pemimpin Melayu yang merasakan ia peluang terbaik untuk memburukkan kerajaan yang diterajui oleh UMNO. Bagi mereka, kalaulah mereka yang mentadbir negara ini, segalanya akan menjadi sempurna dan semua kaum akan mendapat hak yang sama rata, biarpun hak Melayu perlu digadaikan.
Demi politik, mereka tidak mahu bercakap isu-isu yang dilihat melibatkan kepentingan Melayu kerana bimbang akan kehilangan sokongan daripada kaum lain.
Puak seumpama ini bukannya tidak mengetahui biarpun kerajaan yang ada sekarang mempertahankan hak Melayu namun nasib kaum lain tidak pernah diabaikan. Segala yang dipertahankan mengenai orang Melayu adalah berasaskan kepada peruntukan Perlembagaan dan bukannya melalui dasar aparteid - seperti mana dakwaan bodoh sesetengah ahli politik.
Justeru cukup-cukuplah kita berbalah sesama sendiri hanya kerana politik. Masanya sudah tiba untuk orang Melayu kembali bertaut, mengukuhkan kedudukan dan mempertahankan kepentingan bersama.
Orang Melayu tidak akan mendapat apa-apa jika mereka terus berpecah dan berbalah, sebaliknya mereka akan mengalami kerugian yang nyata. Perpecahan di kalangan kita akan menyebabkan orang Melayu menjadi lemah, kita tidak berupaya untuk berdiri dalam saf yang sama hanya kerana berbeza ideologi politik.
Hakikatnya tidak salah untuk berbeza ideologi politik tetapi jangan sampai memutuskan persaudaraan dan ukhuwah Islamiah sesama kita. Senario politik yang berlaku selepas pasca pilihan raya umum 2008 harus menyedarkan orang Melayu bahawa mereka boleh terjerumus ke dalam kedudukan bahaya jika terus berpecah belah.
Pihak-pihak lain akan mengambil kesempatan kerana orang Melayu tidak akan berupaya melawan. Lihat sahaja apa yang berlaku di negeri-ngeri tertentu yang kita lihat pemimpin politik Melayu yang berada dalam kepimpinan kerajaan negeri tidak berupaya berbuat apa-apa.
Mereka dilihat lebih banyak mengikut dan tidak berani membuat keputusan yang dibuat bagi kepentingan Melayu. Keberanian itu hanya ditunjukkan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang tetap melaksanakan dasar untuk membantu orang Melayu.
Orang Melayu tidak harus leka, Orang Melayu tidak harus meletakkan kepentingan politik sehingga sanggup menggadaikan nasib bangsa sendiri. Orang Melayu perlu berada dalam satu barisan bagi menunjukkan perpaduan dan keutuhan. Tidak mengapa kalau dalam pilihan raya mereka hendak berbalah. Tetapi perbalahan dalam pilihan raya bukan bermaksud memutuskan silaturrahim.
Sebaliknya, ia sekadar membentangkan hujah-hujah masing-masing kenapa ideologi politik yang dibawa oleh parti mereka harus disokong. Selepas pilihan raya kembalilah bertaut dan melupakan sengketa.
Berpolitik di kalangan orang Melayu jangan sampai mencetuskan perasaan kebencian kerana itu bukanlah politik yang matang. Kita berpolitik dengan bermatlamat untuk mengukuhkan kedudukan orang Melayu, tidak kira sama ada UMNO atau Pas.
Salah satu parti itu harus menjadi dominan kerana jika tonggak kekuatan politik Melayu lemah, maka ia akan membawa bencana kepada orang Melayu secara keseluruhan. Adalah wajar dalam apa juga keputusan, pendekatan dan dasar yang hendak dibuat, kepentingan politik harus menjadi keutamaan sementara nasib kaum lain tetap terjamin.
Orang Melayu bukanlah bangsa penganiaya, apatah lagi meminggirkan kaum lain. Sejarah politik negara sudah membuktikan bahawa pemimpin Melayu sentiasa adil dalam melakukan tindakan demi kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia.
Oleh itu mana-mana pihak tidak harus merasa tergugat jika ada hasrat untuk menyatukan orang Melayu. Penyatuan ini bukanlah atas perkauman tetapi demi memastikan kestabilan politik dan sosial negara terus kekal serta orang Melayu terus menjadi 'tuan' di tanah airnya sendiri.
Dalam soal menyatukan semula orang Melayu ini, semua pihak perlu berfikiran terbuka terutamanya pemimpin politik Melayu. Kalau ada yang tidak bersetuju mereka harus mendiamkan diri, biarkan yang bersetuju meneruskan misi itu.
Tidak usahlah membuat kenyataan-kenyataan yang menyakitkan hati atau hanya menampakkan betapa bodohnya kita sehinggakan hendak menyatukan sesama bangsa dan seagama pun perlu ditentang. Sama ada hendak disukai atau tidak, penyatuan di kalangan orang Melayu perlu dan mesti dilakukan. Kita tidak mahu perpecahan yang terjadi akan menyebabkan orang Melayu mempunyai kuasa minoriti dalam politik.
Jika itu berlaku tidak mustahil suatu hari nanti orang Melayu hanya menjadi pengikut dan mungkin lebih buruk akan menjadi pelarian ke tanah air sendiri.
Oleh itu seruan Nik Abdul Aziz yang menggesa orang Melayu bersatu ada semangat persaudaraan Islam harus disambut semua pihak dengan hati terbuka dan penuh keikhlasan.
Berunding, bermusyawarah mengenai penyatuan orang Melayu bukan bermakna perlunya gabungan parti-parti politik. Cukuplah sekali istilah bergabung menghuru-hara dan menyekat usaha murni melihat orang Melayu bersatu padu. Cukuplah sekali kita diketawakan oleh kaum-kaum lain apabila tidak mampu mencapai persetujuan untuk duduk semeja bagi membincangkan kepentingan orang Melayu dan Islam.
Jadikanlah masa-masa mendatang ini ibarat satu perjalanan di atas landasan menuju ke arah persefahaman dan penyatuan sebagai hamba Allah yang sujud kepada Tuhan yang satu dan mengadap kiblat yang sama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA ULAS APA YANG ANDA BACA