Aishah Ahmad Azam, 25, memberitahu perkara tersebut dinyatakan oleh Pengerusi DAP, Karpal Singh sewaktu sidang akhbar yang diadakan di pejabatnya pada 6 Februari lalu.
Dia yang merupakan salah seorang individu yang ditugaskan untuk menyediakan transkrip sidang akhbar berkenaan turut bersetuju dengan cadangan peguam bela, Jagdeep Singh Deo bahawa Karpal tidak pernah menyatakan dia akan menyaman Sultan Perak.
''Ada pada mana-mana bahagian YB (Yang Berhormat) Karpal kata akan saman Sultan Perak?'' tanya Jagdeep.
''Tidak ada. Dia (Karpal) cuma kata 'we will sue' (kami akan saman),'' kata saksi pendakwaan keempat tersebut.
Bagaimanapun ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Melissa Mohd. Akhir, Aishah menyatakan mengikut pemahamannya, dia beranggapan bahawa Karpal yang akan menyaman Sultan Perak ekoran sidang akhbar itu diadakan olehnya dan Pengerusi DAP itu yang menyatakan demikian.
Menyentuh mengenai transkrip yang disediakan, Aishah menyatakan, ia disediakan bersama pelajar praktikal RTM, Afzan Sakina Sulaiman.
Dia yang baru bekerja dengan RTM selama lapan bulan turut mengatakan tidak membuang, menambah atau sengaja tidak memasukkan apa-apa perkataan dalam transkrip tersebut.
Mengenai salah satu perenggan yang dikatakan 'dikeluarkan' daripada transkrip tersebut, dia berkata, perenggan tersebut tidak dibuang atau dipotong oleh sesiapa tetapi 'hilang' ekoran masalah teknikal.
Sementara itu, prosiding hari ini juga panas apabila Jagdeep dilihat tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan oleh saksi pendakwaan pertama, Nizam Mohd. Yatim, 38, ketika dipanggil semula untuk soal balas.
Nizam dalam keterangannya menyatakan, dia menggunakan perkataan 'rombakan' dalam artikel yang ditulisnya kerana itu yang didengar melalui rakaman yang dibuatnya pada sidang akhbar tersebut.
Walaupun rakaman sidang akhbar tersebut diulang sebanyak empat kali, wartawan tersebut tetap menyatakan bahawa yang didengarnya ialah 'rombakan' dan bukan 'peruntukan' menyebabkan Jagdeep 'naik angin'.
Peguam itu juga pada satu ketika menyatakan bahawa Nizam telah tersilap dalam membuat laporan berhubung sidang akhbar berkenaan.
''Tak boleh buat macam tu. Awak tak boleh buat rumusan atau keputusan apa yang dikatakan sedangkan ia (keterangan saksi) tidak kukuh.
''Saya boleh dengar apa yang dikatakan dan saya boleh buat andaian saya sendiri. Tetapi kalau saksi kata itu adalah jawapannya, maka itulah jawapannya,'' tegur Pesuruhjaya Kehakiman, Azman Abdullah.
Dalam pada itu, Azman turut meminta semua pihak yang terlibat supaya berhujah mengenai kehadiran beberapa individu dalam prosiding berkenaan yang turut dilihat berada bersama Karpal sewaktu sidang akhbar dijalankan seperti ditunjukkan dalam rakaman video.
Beliau memerintahkan hujahan tersebut dibuat berdasarkan Peraturan 3 dan 4 Peraturan-Peraturan Profesion Perundangan (Amalan dan Etiket) 1978 ketika prosiding bersambung esok.
Dalam rakaman sidang akhbar yang diadakan oleh Karpal di pejabatnya pada 6 Februari lalu terdapat imej beberapa peguam dari firma tersebut iaitu Ram Karpal Singh, Gobind Singh Deo dan Sangeet Kaur Deo.
Ketiga-tiga anak Karpal itu turut hadir mewakili bapanya dalam kes tersebut hari ini.
Karpal dibicarakan atas tuduhan menyebut kata-kata menghasut berkaitan Sultan Perak pada satu sidang akhbar di pejabatnya, Tetuan Karpal Singh & Co., di Jalan Pudu Lama di sini antara pukul 12 tengah hari dan 12.30 tengah hari pada 6 Februari lepas.
Perbicaraan bersambung esok.
salam, anak dan bapak sama nya celake nya...sedar lah rakyat semua bahawa Karpal berani buat apa saja yang melanggar undang2 kerana anak2 nya semua peguam yang akan defend tanpa kos perbelanjaan...adakah kerana anak2 nya peguam kita nak benarkan dia maharajalela mencabul undang2 dan samseng.
BalasPadam