Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib hari Selasa mencadangkan pembaharuan sektor perkhidmatan awam dengan memperkenalkan dasar terbuka dengan membenarkan jawatan-jawatan utama sektor itu dibuka kepada bakat-bakat daripada sektor swasta.

Malah katanya, jawatan utama kerajaan juga harus dibuka kepada pegawai-pegawai perkhidmatan lain dan bukan hanya daripada Perkhidmatan Tadbir Diplomatik (PTD).

“Dari segi pembaharuan structural, pertamanya saya ingin mencadangkan kaedah sistem kemasukan pelbagai peringkat’ ke dalam perkhidmatan awam. Di bawah konsep ini kita akan dapat memanfaatkan proses cross fertilization di antara bakat-bakat sektor awam dan sektor swasta,” katanya semasa berucap pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-10 di Putrajaya.

Selain cadangan tersebut, Najib turut mengutarakan gagasan agar pegawai-pegawai awam boleh dipinjamkan ke syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pegawai GLC dipinjamkan ke sektor awam.

"Dengan cara ini pegawai perkhidmatan awam boleh didedahkan kepada keperluan sektor swasta yang merupakan peneraju utama pertumbuhan negara," ujarnya.

Beliau turut mahukan perkhidmatan awam mempunyai pelan pembangunan dan pencarian bakat kerana pengenalpastian bakat yang mantap akan menjadikan sesebuah organisasi hebat.

Sistem tersebut kini dilaksanakan oleh PETRONAS, Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Bank Negara.

Dalam ucapannya juga menggariskan empat anjakan dalam proses modenisasi paradigma perkhidmatan awam agar sektor tersebut sesuai dengan pencapaian kejayaan pada alaf baru.

“Apa yang saya maksudkan dengan anjakan paradigma adalah pertamanya anjakan dariapda ketegaran kepada keanjalan. Anggota perkhidmatan awam seharusnya menyedari bahawa kerajaan tiak mencipta kekayaan.

“Peranan ini dimainkan oleh sektor swasta yang mencipta kekayaan, dari kekayaan yang dicipta pihak swasta, kerajaan mempunyai saham yang dikutip di dalam bentuk cukai,” jelasnya.

Anjakan kedua katanya, ialah beralih dariapda budaya ‘output’ dan perbelanjaan atau kesan nyata semata-mata kepada mementingkan aspek ‘outcome’ atau dampak keberhasilan secara holistik.

Ketiganya, beliau mahu anjakan dibuat dariapda birokrasi yang menyukarkan kepaa birokrasi yang memudahkan.

Manakala keempat pula ialah anjakan dariapda produktiviti samata-mata kepada gabungan produktiviti, kreativiti dan inovasi.

Dalam ucapan sulungnya bertemu dengan pegawai-pegawai kanan perkhidmatan awam tersebut, Najib menegaskan usaha modernisasi perkhidamtan awam bukanlah usaha yang “hangat-hangat tahi ayam”.

“Saya tidak mahu mengambil sikap hangat-hangat tahi ayam di dalam usaha pembaharuan ini. Saya mahu mengatakan kepada anggota perkhidmatan awam bahawa apa yang saya katakana hari ini, apa yang saya janjikan hari ini. akan berkesinambungan dengan tindakan susulan.

“Selepas ini kita tidak mahu sekadar memanterakan slogan yang muluk-muluk tetapi kosong. Apa yang mustahak, kerja mesti dijalankan,” kata beliau.

Najib juga mengingatkan kewujudan perkhidmatan awam adalah untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Ini kerana sebab musabab kepaa kewujudan perkhidmatan awam itu sendiri adalah untuk mengkhidmati rakyat. Kepuasan hati rakyat adalah tanda aras utama kejayaan sektor awam.

“Bertoalk dari situ, pada hemat saya juga, jika kita benar-benar ingin berkhidmat untuk rakyat, kita perlu mengetahui rintihan massa. Kita eprlu fahami setiap masalah, kekangan dan kesulitan yang dihadapi oleh rakyat, barulah kita mampu untuk mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi mengatasi masalah,” tambah beliau.