Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang bermesyuarat buat pertama kali hari Jumaat bersetuju satu perhimpunan agung khas diadakan hujung tahun ini bagi meminda Perlembagaan UMNO khususnya yang berkaitan dengan proses pemilihan parti itu agar lebih telus, terbuka dan demokratik.

Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak berkata, bagi tujuan itu, MT telah membentuk sebuah jawatankuasa yang akan membuat kajian serta cadangan untuk dibawa semula kepada MT sebelum dibawa pada mesyuarat agung khas tersebut.

Menurutnya, komitmen pembaharuan dalam UMNO dan kerajaan akan diteruskan setelah diambil kira beberapa perubahan yang telah diumumkan sebelum ini.

"Majlis Tertinggi juga mengambil kira perubahan yang sudah diumumkan kerajaan dan saya sudah memberi penjelasan mengenai dasar liberalisasi serta pembubaran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi. Majlis Tertinggi faham kenapa keputusan perlu dibuat.

“Ini bukan bererti kita ubah sesuatu dasar dan komitmen kita tetapi adalah satu usaha untuk mengelakkan pertindihan antara tugas-tugas kementerian supaya lebih fokus, tetapi dasar kementerian berkenaan akan kita teruskan," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat MT UMNO di ibu pejabat UMNO, Menara Dato Onn Kuala Lumpur.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai perlantikan barisan kepimpinan baru UMNO khususnya perlantikan Tan Sri Rafidah Aziz dan Datuk Seri Shahidan Kassim, Najib berkata, kedua-duanya masih boleh memberikan sumbangan.

Katanya, gandingan muka baru dan lama dalam perlantikan yang dibuat, ia mencerminkan usaha pembaharuan yang hendak dilakukan dan pada masa yang sama meneruskan kesinambungan kepimpinan.

Mengenai pilihan raya kecil Penanti, Najib berkata, MT menyerahkan kepada Biro Politik untuk menetukan sama ada parti itu perlu atau tidak bertanding sekiranya pilihan raya kecil DUN Penanti diadakan.