Setelah selesai satu kes yang membabitkan kemelut politik di Perak apabila Mahkamah Persekutuan mengesahkan tiga ADUN iaitu Behrang, Changkat Jering dan Jelapang masih wakil rakyat yang sah, hari Selasa Mahkamah Persekutuan membuat satu lagi keputusan yang akan membawa kepada penyelesaian kemelut yang telah melanda politik Perak hampir tiga bulan.

Dalam keputusannya, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Menteri Besar, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir serta enam Exco Kerajaan Negeri yang digantung keanggotaan DUN mereka oleh Speaker V. Sivakumar menggunakan prosedur yang betul bagi mencabar keputusan berkenaan.

Serentak itu, turut diputuskan Mahkamah Persekutuan mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan Zambry bagi membatalkan keputusan Sivakumar berkenaan.

Mahkamah Persekutuan membuat keputusan berkenaan setelah peguam Sivakumat mencabar sebelum ini bahawa kes berkenaan hendaklah didengar di Mahkamah Tinggi di Ipoh kerana beranggapan undang-undang tubuh negeri Perak menyatakan Mahkamah Persekutuan tidak mempunyai bidang kuasa untuk memutuskan isu berkenaan.

Pada 18 Februari lalu, Sivakumar yang mengetuai Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan DUN Perak membuat keputusan menggantung Dr Zambry dan enam Exco yang lain ekoran berlaku perubahan kerajaan di Perak ekoran ADUN Changkat Jering, Behrang dan Jelapang keluar parti yang menjadi kerajaan campuran ketika itu dan memberikan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) untuk membentuk kerajaan yang baru.

Dr Zambry jika mengikut keputusan Sivakumar digantung 18 bulan manakala enam yang lain 12 bulan.

Selain kes penggantungan oleh Sivakumar ini, masih ada satu lagi kes yang membabitkan kemelut politik Perak yang masih dalam proses perundangan iaitu kes yang dibawa oleh bekas Menteri Besar, Datuk Seri Nizar Jamaluddin yang meminta perisytiharan bahawa beliau masih lagi Menteri Besar yang sah.

Nizar memohon perisytiharan berkenaan kerana mencabar kesahihan perlantikan Dr Zambry yang dibuat oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.