Kempen pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang yang memasuki hari ketiga semakin menarik kerana selain poster, risalah turut diedarkan ialah rakaman-rakaman video dalam bentuk cakera padat.

Daripada beberapa cakera padat yang diedarkan, rakaman perbahasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ketika Datuk Seri Nizar Jamaluddin masih bergelar Menteri Besar, amat menarik kerana secara jelas Nizar mencabar supaya dibuktikan PAS hendak menubuhkan sebuah negara Islam.

Berdasarkan rakaman tersebut, isu berkenaan dibangkitkan oleh bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli yang menyatakan PAS kini sudah lari daripada matlamat asal mereka untuk menubuhkan Negara Islam.

Nizar yang mendengar kenyataan Tajol itu, bangun meminta penjelasan.

“Di manakah dalam mana-mana transkrip PAS yang menyatakan bahawa PAS nak melaksanakan negara Islam. Saya minta pandangan dan minta jawapan di manakah dalam transkrip PAS, dalam memorandum ke ...dalam Perlembagaan PAS ... ada menyatakan PAS nak melaksanakan negara Islam,” tanya Nizar.

Jawapannya itu disambut oleh Tajol dengan menyatakan, “Saya tahu ramai orang PAS dalam Dewan ini tapi itulah jawapan YAB Menteri Besar (mengenai negara Islam)”.

Malah Datuk Dr Zambry Abdul Kadir yang juga ADUN Pangkor bangun mencelah menasihati Nizar agar bertaubat . “Astaghfirullah...astaghfirullah, nauzubillahiminzaliq” kata Dr Zambry.

Rakaman sidang DUN Perak itu yang bertarikh 23 Jun 2008 tentunya menarik minat kerana secara rasmi ketika bergelar Menteri Besar, Nizar seolah-olah mengesahkan memang PAS tidak mempunyai apa-apa dokumen atau iltizam untuk menubuhkan Negara Islam.

Rakaman berkenaan yang kini tersebar luas di Bukit Gantang menjadi senjata kempen yang menyebabkan para penyokong PAS berada dalam keadaan serba salah.

Sebabnya, dalam kempen-kempen di kalangan pengundi Melayu, PAS kini tersepit kerana tidak lagi boleh menggunakan isu negara Islam sebagai pembuktian perjuangan Islam parti berkenaan kerana secara langsung Nizar sebagai pemimpin PAS telah mengesahkan tiada dokumen atau apa-apa memorandum yang membuktikan PAS berhasrat untuk menubuhkan Negara Islam.

Namun, pendirian PAS yang disampaikan oleh Nizar dalam sidang DUN Perak itu sedikit sebanyak mendapat sokongan para pengundi bukan Islam khususnya para penyokong DAP.

Ini kerana, penentangan DAP selama ini terhadap Negara Islam telah tercapai apabila Nizar sebagai salah seorang pemimpin PAS memperakui bahawa parti itu tidak mempunyai hasrat untuk melaksanakan cadangan yang selama ini menjadi senjata PAS menyerang UMNO dalam soal Negara Islam.

Untuk rekod, PAS sejak lebih dua dekad lalu menyerang UMNO kerana didakwa menentang penubuhan Negara Islam dan perlaksanaan hukum hudud. Malah UMNO pernah dikafirkan oleh PAS kerana isu berkenaan.

Namun, berdasarkan rakaman sidang DUN tersebut, PAS sedia untuk melunakkan pendiriannya kerana inigin mempertahankan kerjasama dengan DAP yang selama ini jelas menentang bukan sahaja konsep Negara Islam tetapi juga hudud.