Malah, ketua pembangkang itu juga disifatkan sebagai pencetus dan penyemarak sentimen yang boleh menimbulkan kekecohan dan melemahkan kekuatan bukan saja di kalangan orang Melayu, malah rakyat keseluruhannya, selain menggugat ekonomi negara.
Seperti kata veteran Umno, Tan Sri Aishah Ghani, Anwar pandai bercakap dan memutarbelitkan fakta hingga mempengaruhi pelbagai pihak untuk bertindak tanpa berfikir secara rasional.“Dalam hal ini, orang ramai perlu bijak menilai dan berfikiran waras supaya tidak terpengaruh dengan individu seperti Anwar bagi mengelakkan rakyat dan negara ini dalam kancah huru hara,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melabelkan Anwar sebagai ‘pengkhianat terbesar perjuangan orang Melayu’ turut menyifatkan Anwar sebagai pemimpin ‘lidah bercabang’ yang tidak ragu-ragu untuk menukarkan dasarnya semata-mata untuk manfaat dan cita-cita politik peribadi.
Beliau berkata, Anwar yang pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno kini menggunakan pendekatan penuh penipuan bagi memusnahkan perjuangan parti itu.
Aishah berkata, rakyat terutama di kalangan penyokong Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu perlu menyalahkan diri sendiri jika tindakan dicetuskan Anwar itu membawa kehancuran negara, agama dan bangsa.
Profesor Politik dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Mohamed Mustapa Ishak menyelar Anwar kerana menjadikan rakyat sebagai mangsa dan batu loncatan untuk memenuhi kepuasan diri dan cita-cita politiknya.
“Pendekatan diambil Anwar ini menyerlahkan sikapnya yang begitu ‘terdesak’ walaupun beliau tahu tindakan secara radikal seperti zaman beliau memimpin pelajar pada era 60-an dan 70-an walaupun sebenarnya ia sudah tidak laku lagi.
“Jadi, jangan sekali-kali marah apabila dilabel sebagai pengkhianat orang Melayu kerana sikap dan tindakannya memilih untuk menghancurkan perjuangan bangsa dan negara ini,” katanya ketika dihubungi semalam.
“Anwar seorang yang terdesak dan tidak mempunyai pilihan lain tetapi mendorong kepada perhimpunan haram untuk menggambarkan seolah-olah kerajaan ini zalim.
“Satu kesilapan besar apabila kepimpinan negara membebaskannya dari tahanan,” katanya.
Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, berkata Anwar dilihat sebagai alat yang digunakan musuh Umno dan keghairahannya untuk mencapai matlamat peribadi dieksploitasi golongan berkenaan.
“Anwar jadi kuda tunggangan untuk timbulkan suasana yang tidak stabil di negara ini. Mungkin juga kerana beliau bimbang perbicaraan kes liwatnya menjadi fokus ramai jika tidak berlaku sebarang isu meledak lain.
“Oleh itu, perhimpunan haram Sabtu lalu menjadi harapan Anwar untuk ditahan dan seterusnya menjadikan beliau hero, ini adalah taktik biasa,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
blog sampah
BalasPadam