"Perkara ini timbul kerana perbezaan ideologi antara parti komponen dalam Pakatan. Kita juga panggil perkara ini sebagai masalah luaran (intra-parti).
"Selain itu, mereka (Pakatan) juga terutamanya PAS berhadapan dengan masalah dalaman (inter-parti) mereka sendiri. Ini kerana ada pemimpin PAS yang tidak bersetuju dengan tindakan Dr Hassan Ali sendiri.
Sehubungan dengan itu, Sivamurugan berkata, Pakatan perlu segera menyelesaikan masalah yang timbul ini kerana ia akan menunjukkan seolah-olah ia berada dalam situasi yang tidak stabil.
"Jika rakyat melihat mereka (Pakatan) kucar-kacir, ia secara tidak langsung memberi implikasi negatif kepada pentadbiran mereka (Pakatan)," katanya.
Kelmarin, PAS Selangor mendesak kerajaan negeri menukar portfolio Ronnie Liu yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan ekoran campur tangan ahli politik itu dalam isu jual arak di Selangor.
Parti komponen Pakatan Rakyat itu mahu Menteri Besar Selangor sendiri memegang jawatan itu ataupun diberikan kepada mana-mana pemimpin lain.
Pendirian itu diumumkan oleh Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali Selasa lalu.
Minggu lalu, Ronnie Liu mengarahkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) supaya memulangkan bir yang dirampas di sebuah kedai serbaneka.
Kata beliau, ia perlu dipulangkan semula kerana salah faham.
Perkara itu juga telah dikecam oleh Umno Selangor.
Rampasan oleh Jabatan Pelesenan dan Penguatkuasaan MBSA itu dibuat selepas menerima aduan daripada penduduk setempat sejak beberapa bulan lalu yang tidak berpuas hati kerana mendakwa premis berkenaan menjual minuman keras kepada umat Islam.
Mengulas lanjut mengenai isu tersebut, Sivamurugan yang juga Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, USM berkata, jalan penyelesaian terbaik adalah dengan menyerahkan kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim untuk menyelesaikan isu berkenaan.
"Cuma persoalannya di sini adalah sama ada mekanisma yang akan diguna pakai untuk menyelesaikan isu ini dapat memuaskan hati semua pihak, sama ada Ronnie Liu yang perlu bertanggungjawab atau Dr Hassan Ali yang perlu berkompromi dan tunduk dengan desakan DAP itu tidak dapat kita pastikan lagi pada ketika ini," katanya.
Sementara itu, pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Nidzamuddin pula menyifatkan insiden tersebut akan mewujudkan rasa tidak yakin di kalangan rakyat di Selangor secara keseluruhannya.
"Isu begini (desak penukaran portfolio Ronnie) akan memberi persepsi yang negatif dan mereka (rakyat) akan berasa tidak yakin dengan keupayaan Pakatan untuk menjadi pemerintah dalam pilihan raya umum yang akan datang.
"Mereka (Pakatan) akan dilihat tidak ada konsensus (kata sepakat) dalam menyelesaikan sesuatu isu," katanya.
Menurutnya, kesemua parti komponen dalam Pakatan perlu duduk dan berbincang dalam sesuatu isu sebelum memberi kenyataan kepada media.
"Pada pendapat saya, Ronnie sudah mencampuri urusan pihak berkuasa tempatan kerana isu penjualan arak ini terletak di bawah bidang kuasa Majlis Agama Negeri.
"Dia (Ronnie) ini ibarat 'lebih sudu dari kuah'. Dia (Ronnie) tidak sepatutnya bersikap sedemikian kerana ia akan menggugat hubungan dengan PAS dan orang Islam secara keseluruhannya," katanya.
Jelasnya, perbezaan ideologi antara kedua parti menyebabkan isu tersebut timbuldan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dilihat mampu menjadi pendamai untuk menyelesaikan isu berkenaan.
"Seperti biasa saya lihat PKR akan jadi pendamai. Apa yang penting mereka (Pakatan) perlu mencari mekanisma terbaik dan bermuafakat untuk menyelesaikan isu penjualan arak ini dengan mengambil kira pelbagai faktor terutamanya populasi masyarakat berbilang kaum di Selangor," katanya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA ULAS APA YANG ANDA BACA