PINTU rundingan demi kepentingan umat Islam negara ini masih terbuka luas. Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin sekali lagi mengulangi kesanggupannya untuk berunding dengan Pas.
Namun, Presiden UMNO itu turut menegaskan, parti itu tidak akan sekali-kali menggadai maruah.
Menurut Najib, sekiranya Pas mahu menerima huluran tangan UMNO untuk berunding, rundingan itu perlu dilakukan secara baik.
Maksudnya janganlah ada pihak yang bertindak sewenang-wenangnya mempersoalkan akidah ahli-ahli UMNO.
Tawaran rundingan oleh Presiden UMNO itu seharusnya dilihat daripada sudut positif dan optimis.
Walaupun ahli-ahli UMNO telah dihina dan diperlekehkan dengan pelbagai gelaran dan tohmahan sebelum ini tetapi demi masa depan Melayu dan Islam, Najib tetap menghulurkan usaha perdamaian.
Apa yang dilakukannya itu merupakan satu pengorbanan. Dan pastinya ia dilakukan dengan mengambil kira usaha membela nasib umat Islam dan orang Melayu.
Pas seharusnya mengambil kesempatan daripada tawaran ini untuk merenung semula situasi semasa di dalam negara.
Lihatlah apa yang berlaku ketika ini. Lihatlah juga bagaimana sikap segelintir pihak yang dengan mudah memperlekeh dan memperkotak-katikkan orang Melayu dan umat Islam dewasa ini.
Jadikanlah semua itu sebagai iktibar. Sudah tiba masanya untuk umat Melayu Islam dalam UMNO dan Pas untuk bersatu. Ingatlah, ia demi masa depan survival Melayu Islam sendiri.
Najib pastinya melihat situasi semasa dengan penuh keinsafan.
Maka beliau tidak segan untuk sekali lagi menawarkan jalinan persahabatan dengan Pas. Namun beliau awal-awal lagi telah memberi 'syarat'. Beliau mahu rundingan itu dibuat secara berhemah.
Unsur berhemah sebenarnya merupakan asas untuk memastikan sesuatu rundingan itu berjaya. Lagipun ia selaras dengan tuntutan Islam. Dalam keadaan ini, kesanggupan Pas untuk menyambut huluran UMNO dinanti-nantikan.
Persoalannya, adakah Pas mahu menyambut huluran itu? Namun jika dilihat pada jalinan persahabatan Pas dan DAP, rasanya tidak salah untuk parti itu turut bekerjasama dengan UMNO.
Apa salahnya jika Pas-UMNO berunding? Setiap keputusan lebih afdal jika diputuskan melalui rundingan. Ia sangat dituntut oleh Islam. Pas pastinya lebih arif mengenainya.
Maka tidak salah rasanya untuk Pas menyambut huluran UMNO. Berundinglah demi masa depan Melayu dan Islam.
Namun seperti yang diminta oleh Najib - dan seluruh ahli UMNO - Pas perlu berhenti membuat tohmahan atau tuduhan melulu.
Parti yang mendakwa memperjuangkan Islam itu juga perlu mengelak daripada mempersoal tujuan UMNO menawarkan rundingan.
Jangan curiga dan jangan menaruh syak wasangka.
Fikirkanlah bahawa semua itu tidak lain tidak bukan hanya untuk membela dan mempertingkatkan kedudukan umat Islam.
Jadikan usaha membela umat Islam dan rumpun Melayu sebagai matlamat utama menjalin kerjasama.
Berlainan fahaman politik tidak salah tetapi jangan sampai berlaku perpecahan keterlaluan.
Ingatlah bahawa keadaan itu akan memberi ruang kepada banyak pihak untuk tampil "menangguk di air keruh".
Ambillah kesempatan sempena Ramadan yang mulia ini. Bermaaf-maafanlah sesama kita. Lupakan perselisihan dan permusuhan lama. Lupakan semangat 'assabiyah' yang boleh menghancurkan bangsa.
Kita percaya jika Pas dan UMNO menjalin kerjasama, Melayu dan Islam akan menjadi lebih kuat. Dan pastinya kita tidak akan mudah diperlekehkan kerana telah menjadi golongan majoriti yang bersatu.
salam, bro, semua kita mendoakan pengabungan umno dan pas, ia bukan mustahil sebab sebelum ini pun pernah berlaku.
BalasPadamcuma bg teman selagi ada ni a jis umarak tiga suku ini nescaya semua usaha akan gagal kerana sekiranya umno dan pas bersama kuasa mutlak ni a jis akan pupus.
kesian tol den dengan penulis blog ni... ntah apa2 ntah yang di tulis...buat malu jer la ooooiii...!!!!
BalasPadam