Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau sanggup berunding dengan Pas untuk kepentingan umat Islam negara ini, tetapi tidak rela jika Umno dihina oleh sesiapa sekali pun.
Perdana Menteri berkata, beliau bagi pihak Umno sedia berbuat baik dengan sesiapa saja, tetapi masa sama, tidak akan membiarkan Umno dipermainkan dan akidah parti itu dipersoalkan mana-mana pihak.
"Jika nak buat baik, buat cara baik. Jangan persoalkan akidah (keislaman) kita (Umno). Jangan kata kita (Umno) ini (Islam) luaran saja, dalaman bukan (Islam), ini boleh timbulkan kekalutan dan kekeliruan dalam masyarakat.Yang penting, kita (Umno) buat yang terbaik dan penilaian soal keislaman kita, sama ada yang kita lakukan itu adalah diterima atau tidak, ini bukan kerja manusia, tetapi kerja Allah SWT seperti dijelaskan dalam al-Quran dan hadis," katanya pada majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan kepada golongan fakir miskin di Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Krai di sini, semalam.
Turut hadir isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor; Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed dan Timbalannya, Datuk Dr Awang Adek Hussin.
Presiden Umno itu berkata, paling penting ketika ini adalah memberi tumpuan kepada usaha membangunkan umat Islam dan negara secara keseluruhannya dan masa sama, tidak lupa berlaku adil kepada rakyat bukan Islam.
"Prinsip ini juga menjadi sebahagian daripada gagasan 1Malaysia. Allah mahu kita berlaku adil, jangan membenci sesuatu kaum hingga tidak berlaku adil, inilah prinsip dipegang Umno dan BN selama ini," katanya.
Najib berkata, kejayaan Umno berjuang hingga kemerdekaan negara tanpa pertumpahan darah dengan menyatupadukan kaum lain di negara ini adalah satu peristiwa besar kerana menerusi pencapaian itu, Islam berjaya dijadikan agama Persekutuan.
"Tanpa kemerdekaan, tidak mungkin Islam dapat dijadikan agama Persekutuan. Tidak mungkin kita dapat gunakan dana besar dengan kemampuan kerajaan untuk memenuhi kehendak dan tuntutan Islam," katanya.
Sementara itu, menyentuh kekalahan tipis BN pada pilihan raya kecil Manek Urai pada 14 Julai lalu, Perdana Menteri menyifatkan ia sebagai satu ketentuan Ilahi ketika rakyat kawasan itu sudah menunjukkan hasrat untuk berubah.
Justeru, sebagai menghargai sokongan rakyat Manek Urai dan memenuhi janji yang dibuat BN pada pilihan raya kecil itu, beliau meluluskan peruntukan RM8.9 juta bagi melaksanakan tiga projek kesejahteraan rakyat kawasan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA ULAS APA YANG ANDA BACA