Tarikh penamaan calon dan hari pengundian akan ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Isnin ini dan besar kemungkinan diadakan akhir Oktober ini berikutan beberapa peristiwa penting, termasuk Aidilfitri dijangka jatuh pada 20 September selain Deepavali pada 17 Oktober serta juga perhimpunan khas Umno pertengahan bulan itu serta sidang Dewan Rakyat mulai 19 Oktober juga.
Apa pun pemilihan kali ini amat kritikal bagi Umno dan BN bukan saja kerana ia perlu mempertahankan kerusi itu memandangkan majoriti enam kerusi saja di DUN Negeri Sembilan, malah lebih penting ialah menahan arus prestasi buruknya dalam tujuh pilihan raya kecil sebelum ini daripada terus berlarutan.Daripada lapan pilihan raya kecil itu, BN hanya dapat mempertahankan kerusi DUN Batang Air di Sarawak. BN bagaimanapun gagal mempertahankan kerusi Parlimennya di Kuala Terengganu apabila calonnya kalah kepada Pas dengan majoriti selesa 2,631 undi berbanding majoriti hanya 628 undi yang dimenangi BN ketika pilihan raya umum Mac 2008.
Walaupun tujuh kerusi lain yang ditandingi itu adalah kerusi Pakatan Rakyat (PR), BN tidak sedikit pun dapat menjejaskan kedudukan PR. Hanya untuk kerusi DUN Manek Urai di Kelantan saja ia dapat memberikan saingan sebenar hingga mengurangkan majoriti kemenangan Pas daripada 1,352 undi kepada hanya 65 undi.
Bahkan bagi pilihan raya kecil kerusi DUN Penanti di Pulau Pinang, BN memberikan laluan percuma kepada PKR apabila tidak pun meletakkan calon. Hasilnya hanya 46 peratus daripada sejumlah 5,384 pengundi berdaftar, keluar mengundi iaitu satu jumlah undian terkecil pernah berlaku.
Apakah kesimpulan yang boleh dibuat daripada trend pengundian yang tidak langsung memihak kepada BN ini? Jelas sekali sokongan terhadap Umno dan BN semakin merosot. Tetapi apakah benar pandangan sesetengah bahawa rakyat kini sudah begitu meluat terhadap Umno dan BN hingga memilih sesiapa saja yang menentangnya?
Malangnya ramai yang berpandangan sedemikian. Inilah sebenarnya hakikat kedudukan politik negara sekarang. Dulu pernah dikatakan pengundi akan memilih sesiapa saja yang menjadi calon BN. Tetapi kedudukan itu sekarang sudah terbalik dan sesiapa pun yang diletakkan sebagai calon menentang BN, akan terpilih.
Inilah sebenarnya yang berlaku pada Pilihan Raya Umum Ke-12, Mac 2008 apabila calon PR di sesetengah kawasan yang terdiri daripada mereka yang tidak pernah berkecimpung dalam politik, yang masih mentah hingga ada yang hanya boleh bertutur bahasa Melayu pasar pun terpilih.
Trend ini masih berterusan jika dilihat dalam pilihan raya kecil yang sudah berlalu.
Kesimpulannya ialah BN khususnya Umno perlu berubah sikap. Ia tidak lagi boleh berlagak seperti dulu. Pemimpinnya pada peringkat bahagian dan cawangan tidak lagi boleh bersikap bongkak atau sombong dan bertindak untuk kepentingan sendiri saja. Rakyatlah yang perlu diutamakan kalau hendakkan sokongan mereka.
Dengan itu pemilihan calon juga amat penting. Jangan ulangi apa yang terjadi di Permatang Pasir dengan memilih seorang yang tidak berwibawa dan yang berdepan pelbagai masalah termasuk masalah peribadi. Sekiranya BN ingin mempertahankan kerusi Bagan Pinang, calonnya hendaklah seorang yang tidak akan menimbulkan apa-apa kesangsian sekali pun. Sebolehnya seorang yang tidak mempunyai cacat cela atau sejarah yang menjengkelkan.
Apa pun arus yang membawa BN ke kedudukan mencemaskan ini harus disekat dan diubah kiranya BN berhasrat untuk mendapat sokongan rakyat untuk dipilih lagi menerajui kerajaan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.
Kalau tidak, ia juga akan mengalami nasib sama seperti menimpa Parti Liberal Demokratik (LDP) Jepun yang disingkirkan dengan kekalahan teruk selepas menerajui negara itu selama 55 tahun. Parti baru Demokratik meraih 308 kerusi berbanding hanya 119 kerusi yang dimenangi LDP dalam pilihan raya pada 30 Ogos lalu.
Malah ramai sudah pun membuat ramalan terhadap kemungkinan BN juga mengalami nasib sama seperti LDP Jepun ini jika ia tidak berubah sikap. Dikatakan ramai yang menyertai Umno sekarang bukannya untuk memperjuangkan kepentingan rakyat tetapi untuk mengisi temolok sendiri. Amalan rasuah dan politik wang perlu dihapuskan sama sekali kiranya ia mahu terus menjadi relevan.
Dengan itu perhimpunan khasnya pada pertengahan Oktober nanti akan menjadi tanda penunjuk apakah Umno sudah sedia untuk mengubah diri menghadapi keadaan baru ini. Kalau tidak ia tentunya akan mengalami nasib sama seperti yang berlaku kepada LDP.
Parti-parti komponen BN khususnya MCA dan MIC juga menghadapi masalah lebih-lebih lagi MCA yang seolah-olah sudah terbahagi dua, manakala MIC pula seperti parti yang sudah tua yang memerlukan suntikan barisan pimpinan baru.
Apakah kedua-dua komponen utama BN dapat menyelesaikan masalah dalaman masing-masing hanya masa akan menentukan. Sebenarnya BN tidak pun berdepan dengan saingan yang mantap. Lihat saja apa yang sedang berlaku antara ketiga-tiga parti yang mendokong Pakatan Rakyat khususnya Pas dan DAP.
Kedua-dua parti ini tidak langsung mempunyai matlamat perjuangan yang sama. Perbalahan terus saja berlaku antara mereka dan tentunya kerajaan yang mereka terajui juga tidak akan mantap seperti berlaku di Selangor dan Pulau Pinang. PKR pula lebih mementingkan perjuangan seorang yang begitu teringin untuk menjadi Perdana Menteri.
Walaupun demikian perasaan menyampah terhadap BN khususnya Umno kalau dibiarkan berterusan akan membuatkan pengundi memilih siapa saja yang menentangnya. Inilah kedudukan yang perlu ditangani BN sekiranya tidak mahu menjadi seperti LDP di Jepun.
Biaq p la BN/UMNO nak terjemah jadi natang aper, kita tak kan undi BN/UMNO untuk selama-lamanyer....bungkui jer la...dok nyusahkan orang...
BalasPadam