RANCANGAN pembangkang mengadakan apa yang disebut sebagai 'Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN)' diteruskan juga walau pun menyedari tindakan itu jelas membelakangi undang-undang selain tidak mendapat perkenan daripada Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.
Diketuai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin dan Pengerusi DAP, Datuk Ngeh Koo Ham, ADUN-ADUN pembangkang 'berusaha' merempuh pasukan polis yang berkawal sejak awal pagi di pekarangan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).
Keadaan menjadi semakin kelam kabut memaksa pihak polis yang pada mulanya hanya bertujuan untuk mengawal keadaan, mengambil tindakan lebih tegas - beberapa ADUN termasuk Koo Ham kemudian ditahan.
Serentak itu, satu sidang media diadakan di ibu pejabat DAP negeri.
Ini adalah 'modus operandi' parti pembangkang di Perak. Apa yang berlaku hari ini tiada bezanya dengan peristiwa-peristiwa sebelum ini.
Tujuannya adalah untuk menarik perhatian. Usaha itu perlu diteruskan kerana mereka merasakan sokongan terhadap pembangkang makin berkurangan.
Mungkin ada yang beranggapan sokongan yang dimaksudkan tidak berubah. Jika benar, mana mungkin mereka sanggup bertindak 'sebijak' ini.
Sebagai parti yang hanya bermodalkan 'kata-kata,' isu 'kehilangan perhatian' dianggap satu mala petaka yang tidak seharusnya berlaku.
Maka, tidak dapat diadakan di SUK, 'sidang DUN' pun dibuat di sebuah hotel, yang terletak kira-kira lima kilometer dari bangunan SUK.
Bersidanglah mereka. Dengan lagak masih sebagai seorang Speaker, ADUN Tronoh, V. Sivakumar memulakan 'persidangan' yang dihadiri semua ADUN pembangkang kecuali mereka yang ditahan polis dan ADUN Titi Serong, Khalil Idham Lim Abdullah yang dikatakan menunaikan umrah di tanah suci Mekah.
Tiga usul menjadi inti pati 'persidangan'. Ketiga-tiga usul hanya berkisar soal 'peralihan kuasa' dan 'kuasa yang hilang'. Sementara satu usul tergempar mempertikaikan peranan polis melaksanakan tugas mereka.
Dalam masa sama, mereka sedar setiap keputusan yang dibuat tidak akan membawa sebarang erti atau makna kepada pentadbiran negeri.
Bagi orang ramai, apa yang disaksikan mungkin sebahagian daripada kisah atau warna-warna hidup yang seronok untuk dijadikan bahan bualan.
Menyalahkan polis bertindak kasar terhadap pembangkang mungkin boleh dianggap satu isu lapuk. Ini kerana sejak pembangkang merancang untuk mengadakan 'sidang DUN', polis telah mengeluarkan amaran berkali-kali.
Malah sehingga semalam, Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah telah menasihati orang ramai dan parti pembangkang supaya tidak berkumpul di SUK bagi menggelakkan perkara-perkara tidak diingini.
Arahan itu juga berikutan penolakan injuksi oleh mahkamah terhadap permohonan Sivakumar untuk mengadakan 'sidang DUN'.
Apa yang pasti, sidang DUN bawah pokok yang mendapat sambutan box office selepas 'ditayangkan' Mei lalu, dinaik taraf kepada 'sidang DUN di hotel'. Mungkin juga ia sebagai tanda menghormati bulan Ramadan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA ULAS APA YANG ANDA BACA