HAMBAR, tidak ada yang menarik pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Penanti pada 31 Mei ini. Mungkin disebabkan ketiadaan calon Barisan Nasional (BN). Jika tidak ada yang menarik diri, persaingan empat penjuru iaitu melibatkan Mansor Othman, 59 (PKR), serta tiga calon Bebas iaitu bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, Aminah Abdullah, 56, pengurus syarikat, Nai Khan Ari,41 dan ahli perniagaan Kamarul Ramizu Idris, 42. Menyelak kembali perebutan di Penanti, pertembungan empat penjuru berlaku pada 1974, melibatkan calon BN, KITA, PSRM dan Pekemas.
Pas pernah bertanding di kawasan itu pada 1978, 1982 dan 1986. Tetapi kali ini tanpa BN, sudah tentu PKR berada di ambang kemenangan. Apa yang dinantikan hanya majoriti. Adakah ia lebih besar berbanding majoriti yang diperoleh Mohammad Fairus Khairuddin pada pilihan raya umum lalu iaitu sebanyak 2,219 undi. Majoriti tertinggi yang pernah dicatatkan di Penanti ialah pada 1995 ketika Cikgu Daud Taha (BN) menewaskan calon Semangat 46 dengan majoriti 6,818 undi. Jumlah pengundi ketika itu 14,112 orang dan yang keluar mengundi 11,094. Kini jumlah pengundi ialah 15,384 orang dan adakah tanpa BN, peratusan keluar mengundi akan merosot?
Punca BN tidak bertanding sudah pun jelas. Mungkin pembangkang boleh kata apa sahaja tetapi alasan yang diberi tidak perlu dipertikaikan. PRK itu bukan kerana kekosongan akibat kematian atau penyandang melepaskan jawatannya selepas didapati bersalah oleh mahkamah. Penyandang meletak jawatan tanpa alasan yang kukuh.
Maka BN tidak menyambut permainan politik ini kerana ia lebih merupakan kaedah PKR menyelesaikan masalah dalaman parti itu. Dan apabila kekosongan berlaku di DUN Manek Urai akibat kematian wakilnya, maka Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan segera mengeluarkan kenyataan mahu UMNO bertanding.
Kenyataan itu disusuli pengesahan oleh Presiden UMNO, Najib Tun Razak bahawa BN akan bertanding kerana kekosongan yang berlaku tidak seperti di Penanti. Tetapi awal-awal juga Pengarah Pilihan Raya Pas, Mustafa Ali mencadangkan UMNO tidak bertanding sama seperti dilakukan di Penanti. Bertanding salah, tak bertanding pun salah. Bercakaplah ikut logik akal. Sama ada di Penanti atau Manek Urai, kemenangan BN sememangnya tidak mampu mengubah apa-apa.
Tetapi keputusan BN tidak bertanding di Penanti sebaliknya menawarkan diri di Manek Urai adalah berasaskan prinsip, bukan ikut selera. Maka jika pembangkang kecewa tanpa kehadiran BN di Penanti, nantikan kehadirannya di Manek Urai. Simpanlah tenaga di Penanti untuk menghadapi BN di Manek Urai.
Di Penanti, tanpa mahu mempertikaikan kewibawaan calon-calon Bebas, peluang PKR pada PRK ciptaan PKR itu adalah cerah. PKR perlu menang pada PRK itu kerana 'tidak ada pencabar'. Malu besar jika PKR kalah. Kedua, PKR perlu menang kerana mahu mengisi kekosongan jawatan Timbalan Ketua Menteri 1 (TKM1) Pulau Pinang setelah Fairus meletak jawatan itu pada 8 April, kemudiannya mengosongkan kerusi DUN Penanti pada 16 April. Mungkin dua lagi wakil rakyat PKR - Sungai Bakap dan Batu Maung - tidak sesuai untuk jawatan TKM1, maka PKR terpaksa mencari calon lain dan Penanti menjadi korbannya. Andai ditakdirkan kalah, adakah PKR terpaksa mencipta satu lagi PRK untuk mencari calon TKM1? Ketiga, PKR perlu menang untuk menunjukkan kepada umum bahawa parti itu mempunyai pengaruh yang kuat setidak-tidaknya di Penanti selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU 12) yang lalu. Keempat, inilah peluang PKR 'menyerang BN' dengan pelbagai isu tanpa serangan balas BN di sana. Mungkin penyokong BN yang tidak kuat dengan perjuangan dan sudah terbiasa dengan kerja-kerja pilihan raya akan terpengaruh atau 'termakan umpan' menerima pelbagai tawaran atau aktiviti PKR semasa PRK ini demi 'merayakan' pilihan raya itu.
Maka tanpa BN, pakatan pembangkang terus aktif berkempen dan memenuhi acara kempen sejak sebelum hari penamaan calon lagi. Mereka berceramah seperti biasa kerana itulah pentas paling popular untuk melepaskan apa yang terbuku di hati. Sekalipun dianggap syok sendiri atau bercakap sendirian, apa yang penting ialah mereka dapat menghidupkan kempen PRK itu dan khalayak yang mendengar terhibur dengan cerita politik yang dibawa oleh penceramah-penceramah handalan mereka seperti Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu, Lim Guang Eng dan ramai lagi.
PKR perlu bekerja keras untuk memastikan pengundi-pengundi keluar mengundi. Tetapi jangan sampai memaksa atau mengugut pengundi terutama di kalangan wanita/suri rumah supaya keluar mengundi.
Amat menarik untuk melihat sama ada pengundi-pengundi yang selama ini setia kepada UMNO atau BN, akan keluar mengundi atau tidak. Siapakah pilihan mereka? Adakah mereka akan memilih calon Bebas atau mengundi PKR sebagai tanda protes terhadap keengganan BN bertanding? Bagaimana pula dengan Pas terutama sayap Pemudanya yang sebelum ini mahu parti itu meletak calon? Adakah Pemuda Pas benar-benar kecewa dan tidak turun padang? Sebenarnya bukanlah sesuatu yang mengejutkan jika Pemuda Pas tidak membuka bilik operasi. Mereka boleh memberi alasan tindakan itu bukan disebabkan kecewa terhadap calon PKR tetapi kerana cabaran kali ini tidaklah terlalu getir.
Tanpa jentera Pas, kemenangan sudah boleh diraikan oleh PKR. Lebih elok Pemuda Pas simpan tenaga itu untuk sama-sama memastikan calon Pas menang di Manek Urai. Bagi PKR dan calon Bebas yang bertanding, mungkin risau sedikit mengenai peratusan pengundi yang bakal keluar mengundi lebih-lebih lagi apabila mereka memikirkan soal calon tempatan. Adakah calon-calon ini mampu memenuhi 'kekosongan' yang ditinggalkan Fairus? Atau siapa saja yang bakal dipilih tidak akan membawa apa-apa perubahan? Pengundi-pengundi sudah tentu mahu wakil rakyat yang boleh mendekati akar umbi dan rakyat pula mudah mendekati wakil rakyat berkenaan.
Sejauh manakah mereka dapat menerima Mansor yang ditolak pengundi dalam tiga pilihan raya umum sebelum ini? Atau mereka menerima atas dasar simpati kepada PKR yang sedang tercari-cari calon TKM1? Mansor turun kali ke-4. Pada 1999 Mansor bertanding di Parlimen Balik Pulau tetapi Zain Omar (BN) menang dengan majoriti 9,434 undi; pada 2004 di DUN Seberang Jaya (Ariff Shah dari BN menang majoriti 4,464 undi); pada 2008 di DUN Pulau Betong (Muhammad Farid Saad dari BN menang majoriti 294 undi). Semuanya berakhir dengan angka 4. Kini Mansor mencuba kali ke-4 dalam pertandingan 4 penjuru di kawasan P44 (Permatang Pauh).
Apa pun mungkin satu rekod dalam tempoh yang singkat selepas PRU 12, penduduk Permatang Pauh mempunyai wakil rakyat yang silih berganti gara-gara letak jawatan. Pertama Anwar Ibrahim, menggantikan isterinya, Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang meletak jawatan untuk memberi laluan kepadanya menjadi Ahi Parlimen Permatang Pauh seterusnya sebagai persediaan mantan Timbalan Perdana Menteri itu menduduki kerusi Perdana Menteri Malaysia yang ke-6 pada 16 September 2008. Dan hujung minggu ini pula, penulis serta 15,383 pengundi di Penanti akan mendapat seorang lagi wakil rakyat baru sekali gus seorang lagi TKM1. Kepada pengundi-pengundi sama ada yang menetap di Penanti atau di luar kawasan itu, anda mempunyai kuasa besar untuk mencorakkan PRK ciptaan PKR ini ! Selamat mengundi.
ayuh rakyat Penanti, undilah calon Pakatan Rakyat...
BalasPadambir btul bro nak gempur Manek Urai..hatta bertanding kubu kuat UMNO skalipun, Pakatan Rakyat yg akan menggempur UMNO...
dgn bantuan drpd seluruh badan dan media, UMNO masih tidak mampu menawan hati rakyat....kesian...kesian..
apa2 pun, kita jumpe di Manek Urai nnt bro...
penyokong-penyokong Pakatan Rakyat tidak tahu, bahawa melalui pilihan raya kecil Anwar mencari peluang mengumpul duit untuk poket dia. Sebab itu Anwar amat keciwa BN tak bertanding di Penanti.......
BalasPadamKawan pelik ngapa orang Melayu mudah kena tipu dari manusia bernama Anwar ni......