Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Datuk Liew Vui Keong berkata, BN sudah bersedia menerima asakan pihak pembangkang dan akan berjuang habis-habisan.
Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri menambah, menang atau kalah adalah perkara kedua kerana yang penting ialah berusaha menawan kerusi tersebut dari tangan pembangkang.
“BN akan berusaha menawan kerusi DUN Manek Urai, menang atau kalah, hakikat tersebut sudah menjadi adat dalam pertandingan, ia tidak akan menjejaskan prestasi BN.
“Kita akan cuba sedaya upaya untuk menang di situ dan tidak ada sebab bagi BN untuk mengalah,” katanya kepada pemberita selepas melawat hentian bas di hadapan Kompleks Mahkamah, di sini hari ini.
Beliau mengulas keupayaan dan peluang BN dalam memenangi pilihan raya kecil DUN Manek Urai yang akan diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya, Ismail Yaacob, Jumaat lalu.
Katanya, BN mampu menggempur dan memberi tentangan hebat di kubu kuat Pas itu walaupun Malek Urai dikuasai pembangkang sejak pilihan raya umum 1986.
Menurutnya, penyertaan BN untuk bertanding di kawasan tersebut adalah wajar dan tepat kerana pilihan raya kecil yang bakal diadakan itu mempunyai sebab yang kukuh.
“Ini berbeza dengan pilihan raya kecil di Penanti yang sengaja direka pihak pembangkang supaya BN masuk perangkap, malangnya mereka sendiri yang terjerat,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA ULAS APA YANG ANDA BACA