BUKIT MERTAJAM: Proses penamaan calon pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti di Pulau Pinang bermula pukul 9 pagi tadi dalam suasana "tidak semeriah" berbanding pilihan raya kecil sebelum ini.
Sesi penamaan calon dibuka tepat pukul 9 pagi tadi. Ia akan berlangsung selama sejam dan diikuti sesi bantahan, juga selama sejam.
Setakat pukul 9.30 pagi tadi empat calon termasuk tiga yang mahu bertanding sebagai calon Bebas telah berada di Dewan Perdana Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di sini.
Timbalan Pengerusi Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang, Mansor Othman yang mewakili Pakatan Rakyat merupakan calon yang hadir awal.
Pilihan raya kecil ini didiadakan tanpa penyertaan pakatan parti politik utama Barisan Nasional (BN).
Ini merupakan pilihan raya kecil yang keenam sejak pilihan raya umum ke-12 Mac 2008.
Malah ia juga pilihan raya kecil kedua melibatkan bahagian Parlimen Permatang Pauh. Permatang Pauh menyaksikan pilihan raya kecil kerusi Parlimen Ogos lalu.
BERITA TERDAHULU
Penamaan calon pilihan raya kecil Penanti pagi ini
BUKIT MERTAJAM: Penamaan calon pilihan raya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti diadakan pagi ini, dipercayai bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru tanpa kehadiran Barisan Nasional (BN).
Ia berdasarkan pada jumlah calon yang menyatakan pendirian masing-masing sebelum ini.
Bagaimanapun semalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan lima borang pencalonan telah dikeluarkan.
Proses penamaan calon yang diadakan bermula dari pukul 9 pagi hingga 10 pagi berlangsung di Dewan Perdana Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Bukit Mertajam.
Parti Keadilan Rakyat (PKR) meletakkan Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Mansor Othman sebagai calon untuk merebut kerusi DUN Penanti.Pada pilihan raya umum 2008, Mansor bertanding di DUN Pulau Betong menentang Muhamad Farid Saad dari BN tetapi tewas dengan majoriti 294 undi.
Selain PKR, calon bebas iaitu bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, Aminah Abdullah turut menyatakan hasrat untuk bertanding.
Manakala Selasa lalu seorang lagi calon bebas iaitu ahli peniagaan, Mohd Saberi Othman turut mengumumkan hasrat untuk bertanding pada pilihan raya kecil Penanti.
Terbaru semalam, seorang pengurus syarikat, Nai Khan Ari, 41, mengumumkan pendiriannya untuk bertanding sebagai calon bebas.
Bagaimanapun kehangatan dan kemeriahan pilihan raya kecil kali ini kurang dirasakan memandangkan Barisan Nasional (BN) pada Isnin lepas mengumumkan tidak bertanding bagi merebut kerusi berkenaan.
Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan penyandangnya, Mohammad Fairus Khairuddin dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti 16 April lalu.
Pada pilihan raya umum Mac 2008, Mohamad Fairus memenangi kerusi tersebut dengan 7,346 undi menewaskan calon BN, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid dengan majoriti 2,219 undi.
Daftar Pemilih yang akan digunakan SPR pada pilihan raya ini ialah Daftar Pemilih Induk (DPI) tahun lepas yang dikemas kini sehingga 16 April lalu, yang mengandungi 15,384 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 15,360 pemilih biasa dan 24 pemilih pos.
Daripada jumlah itu, 72.68 peratus adalah pengundi Melayu, 24.22 peratus Cina, 2.39 peratus India dan 0.71 peratus lain-lain bangsa.
MAKLUMAT SEPINTAS LALU
Pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi: Dewan Besar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bukit Mertajam
Jumlah pusat mengundi: 9 buah dengan 32 saluran
Jumlah petugas: 242 orang
Jumlah pemilih berdaftar: 15,384 orang (15,360 pemilih biasa dan 24 pemilih pos)
Pecahan pengundi mengikut kaum: Melayu (72.68%), Cina (24.22%), India (2.39%) dan lain-lain (0.71%).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA ULAS APA YANG ANDA BACA