Sidang media Menteri Besar Perak hari Rabu hangat dengan pelbagai isu menjelang sidang DUN Perak hari Khamis. Namun paling menarik ialah penegasan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir terhadap soalan di mana beliau akan duduk dalam dewan esok.

“Bagi saya soal kerusi tidak penting. Apa yang penting siapa yang ada majoriti dalam Dewan,” katanya.

Menurut beliau, buat masa ini Barisan Nasional (BN) mendapat sokongan daripada 31 ADUN dan semuanya telah mengesahkan kehadiran mereka.

Sehubungan itu beliau berharap, sidang yang dijadual berlangsung selama seminggu itu akan dapat berjalan dengan lancar.

“Saya harap proses sidang DUN akan berjalan lancar. Saya harap kita semua ikut peraturan seperti yang telah ada dalam aturan mesyuarat,” ujarnya pada sidang media di pejabatnya menjelang sidang DUN esok.

Sidang DUN Perak menarik tumpuan kerana ia diadakan di tengah-tengah kemelut politik yang masih hangat di negeri ekoran sejak peralihan kerajaan daripada pakatan pembangkang kepada BN.

Pelbagai andaian dan kemungkinan dijangka berlaku semasa sidang berkenaan termasukkah ada usaha untuk mengadakan perhimpunan di Ipoh bagi menggagalkan perjalanan sidang DUN berkenaan.

Selain itu, turut dibangkitkan semasa sidang media Dr Zambry ialah kemungkinan Speaker V. Sivakumar akan menangguhkan sidang DUN sejurus selepas perasmian disempurnakan oleh Sultan atau Raja Muda Perak.

Menjawab semua persoalan itu, Dr Zambry mengulangi harapannya agar sidang berkenaan dapat dijalankan mengikut aturan mesyuarat yang telah disediakan.

Ditanya jika keadaan itu berlaku apakah strategi yang akan diambil oleh beliau dan BN, jawapnya “Kita tunggu dan lihat”.