Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed, berkata BN mendapat maklum balas yang beliau diterima baik oleh masyarakat, bukan setakat disokong ahli Umno dan pengundi atas pagar, malah ada juga penyokong Pas menyuarakan sokongan kepadanya.
"Ini adalah petanda positif kerana Tuan Aziz pernah bertugas di Kesedar Sungai Peria, amat disenangi dan seorang anak muda yang wajar diberi peluang oleh pengundi sebagai satu suara kebangkitan anak muda di Kelantan," katanya pada sidang media, di sini semalam.
Mustapa berkata, pengundi luar mungkin sudah selesa dengan kehidupan di tempat tinggal masing-masing di luar Kelantan kini, namun mereka wajar memberi peluang kepada BN untuk membawa perubahan demi keselesaan kehidupan penduduk yang menetap di Manek Urai.
“Pengalaman luas Tuan Aziz dalam sektor swasta dan awam serta rapat dengan masyarakat sepanjang tugasnya dengan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) menjadi pelengkap ciri kepemimpinannya yang baik.
"Pengalaman ini penting kerana sebagai wakil rakyat, beliau bukan setakat menjaga hal ehwal masyarakat kawasan diwakili, tetapi menjadi jurubicara kepada rakyat dalam semua urusan dan mesti tahu selok belok perjalanan kerajaan dan swasta,” katanya.
Beliau berkata, calon BN bukan setakat memiliki ijazah, tetapi paling penting keikhlasan dan pengalaman untuk berkhidmat kepada rakyat dan membawa perubahan kepada Manek Urai seperti dijanjikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Mustapa berkata, seluruh jentera BN kini sudah bergerak di seluruh Manek Urai mendekati pengundi dan beliau berharap momentum sokongan yang diterima akan diterjemahkan kepada undi kepada BN pada 14 Julai kelak.
Sementara itu, Mustapa berkata, dakwaan Pas yang Umno memisahkan Islam dan politik dalam kempen di kalangan pengundi adalah helah mengelirukan masyarakat luar bandar terhadap pendirian Pas yang semakin menyimpang daripada matlamat asal penubuhannya.
"Realitinya, Islam adalah agama rasmi dan Umno membangunkan Islam menerusi dasar-dasar negara. Namun, kita akui beberapa perkara belum selesai lagi tetapi kalau kita lihat kepada Pas, suatu ketika dulu mereka memperjuangkan hudud tetapi kini tidak lagi. Begitu juga mengenai negara Islam yang kini sudah digugurkan.
Mustapa berkata, suatu masa dulu, pemimpin Pas juga melabelkan Umno sebagai kafir semata-mata kerana bekerjasama dengan rakan bukan Islam dalam BN.
"Namun, kini bila mereka sendiri berkawan dengan bukan Islam (dalam Pakatan Rakyat), dakwaan kafir yang dilemparkan kepada Umno selama ini sudah tidak lagi kedengaran. Jelas kalau dilihat sejarah perjuangan sejak penubuhannya, Pas sentiasa mengubah dasarnya berbanding Umno yang tetap dengan pendiriannya diambil ketika penubuhannya.
"Perjuangan Umno tetap sama dan tidak berubah. Perjuangan Umno menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam seperti termaktub dalam Perlembagaan, perjuangan menjaga kepentingan orang Melayu kerana kita masih tertinggal di belakang dan membangunkan negara ini untuk semua kaum, itu tidak pernah berubah dalam perjuangan Umno,
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA ULAS APA YANG ANDA BACA