Buku kecil mengenai kontroversi gambar intim exco kerajaan negeri Selangor yang juga ADUN Bukit Lanjan, Elizabeth Wong kini diedarkan di Bukit Gantang.
Salinan buku kecil itu ditemui di markas Pemuda BN di Simpang dan sewaktu majlis ceramah bekas pemimpin PKR, Lokman Adam di Taman Kaya, Simpang yang dibatalkan malam tadi.
Buku kecil itu tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai penerbitnya.
Dari muka pertamanya, buku itu memaparkan Elizabeth sebagai seorang wanita tidak bermoral tetapi masih menerima sokongan daripada PAS, yang meletakkan Datuk Mohd Nizar Jamaluddin sebagai calonnya bertanding dalam pilihanraya kecil Parlimen Bukit Gantang.
Buku itu mendakwa, Elizabeth tidak dianiayai tetapi dia sendiri yang menjadi puncanya dan mengadakan hubungan seks dengan sesiapa sahaja.
Sehubungan itu, ia bertanya sama ada perbuatan itu dibenarkan dalam tafsiran PAS mengenai Islam.
Muka surat 3 buku tersebut mendakwa Elizabeth juga mempunyai hubungan intim dengan ketua penerangan PKR, Tian Chua, terutama apabila mereka berdua berada di Taiwan tahun lalu, untuk memujuk ahli Parlimen BN melompat parti untuk menyertai Pakatan Rakyat.
Artikel kelima dan artikel yang terakhir dalam buku itu memaparkan rencana
Utusan Malaysia pada 1985 yang memetik Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang sebagai berkata parti itu akan menghapuskan hak istimewa orang Melayu jika ia berkuasa.
Pada 16 Februari lalu, dua akhbar berbahasa Inggeris telah menyiarkan berita mengenai gambar-gambar intim Elizabeth yang diedarkan kepada umum. Berikutan itu, Elizabeth menawarkan diri untuk meletak jawatan sebagai exco kerajaan negeri Selangor dan ADUN Bukit Lanjan.
Sementara itu, khabar angin tersebar bahawa wang diedarkan kepada pengundi, mengakibatkan orang ramai menyerbu pusat operasi Parti Progresif Rakyat (PPP) di Taman Kota Jaya, Simpang semalam.
Apabila
Malaysiakini tiba di situ, kumpulan orang lelaki dan wanita kelihatan keluar masuk tempat tersebut. Di dalamnya, mereka dilihat menyerahkan kad pengenalan kepada dua lelaki yang menyalin butiran di atas sekeping keras kosong.
Mereka yang ditemui berkata, mereka mencuba nasib ekoran tersebarnya khabar angin bahawa ramai pengundi telah menerima wang tunia RM100 sejak tiga hari lalu untuk mengundi sebuah parti tertentu.
Bagaimanapun, dakwaan tersebut tidak dapat disahkan.
"Saya diberitahu jika 'bos' datang esok, kami boleh mendapatkan wang tersebut," kata seorang wanita Cina yang sudah berusia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA ULAS APA YANG ANDA BACA