Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak membayangkan bahawa peruntukan perlembagaan parti mungkin dipinda sebagai antara strategi penting bagi proses pembaharuan dan pemulihan Umno.
Beliau berkata perubahan mesti berlaku dalam Umno supaya persepsi negatif rakyat dapat dikikis.
"Sebab itu cara pemilihan pemimpin Umno mesti dikaji semula. Kita harus lakukan sesuatu secara bersungguh-sungguh, dan berani buat perubahan. Saya yakin sekiranya kita berani buat perubahan, sokongan kepada Umno dan BN akan kembali dan kita boleh pulih semula kedudukan kita seperti sediakala.
"Jadi soal dalaman Umno ini kita perlu lakukan perubahan dan selepas itu dasar-dasar kerajaan serta pendekataan kita dalam hala tuju terhadap penekanan yang kita berikan. Apakah yang diutamakan oleh rakyat sebenarnya. Ini (jawapan) yang mesti kita cari," katanya dalam program wawancara Dialog@1 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam tadi, lapor Bernama.
Beliau menjangka pindaan perlembagaan parti tersebut dapat dilaksanakan sebelum pemilihan Umno pada tahun-tahun akan datang.
Najib yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata struktur organisasi dan dasar Umno juga perlu dirombak bagi memposisikan hala tuju parti dengan keperluan rakyat negara.
Mengenai perhimpuan agung Umno selama lima hari bermula Selasa ini, Najib berkata, beliau mahu para perwakilan ke pemilihan parti minggu depan supaya hanya memilih pemimpin yang berwibawa dan berkhidmat kepada rakyat berdasarkan prinsip integriti, kredibiliti dan loyalti.
"Saya harap mereka akan memilih perwakilan berdasarkan apa yang baik dan penting untuk parti, bukannya kepentingan diri.
Perkongsian kuasa
"Kalau kita pilih ciri-ciri tersebut, saya pasti itulah titik permulaan proses pembaharuan untuk Umno," katanya.
Dalam pada Umno memperbaharui dirinya, katanya, Umno yang juga lynchpin kepada Barisan Nasional (BN) perlu bersedia untuk memberi ruang kepada komponen parti BN yang lain untuk mengetengahkan pandangan dan keperluan mereka atas dasar konsep perkongsian kuasa.
"Dalam proses pemulihan, Umno mesti beri ruang kepada rakan Umno yang lain untuk berfikir apa yang terbaik untuk kumpulan dan kaum mereka. Umno juga perlu bersedia untuk memberi pertimbangan kepada perkara-perkara yang mereka rasakan penting untuk pembelaan masyarakat ini.
"Kalau mereka tak dapat deliver, jikalau mereka tidak dapat membuat sesuatu, mereka akan hilang kredibiliti di kalangan kumpulan etnik yang mereka wakili," katanya.
Najib yang akan mengambil alih pucuk kepimpinan negara dalam suasana politik negara dan kesan ekonomi global yang tidak memuaskan tidak lama lagi, juga melihat dirinya tidak ada masa untuk tempoh "berbulan madu".
Katanya beliau sedar kepimpinannya akan diperhati dan diuji khususnya pada hari-hari awal pentadbirannya.
"Saya percaya rakyat akan beri peluang kepada saya untuk tunjukkan apa yang boleh saya lakukan," katanya.
Beliau turut menggariskan dua perkara yang akan menjadi ujian rakyat kepadanya iaitu, keputusan sususan jemaah menteri yang dipilihnya serta ucapan sulung beliau sebagai Perdana Menteri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA ULAS APA YANG ANDA BACA