Merakyatkan Pemuda UMNO
Beliau membuat peringatan itu kerana tidak mahu pemilihan yang bakal menyaksikan persaingan antara beliau dengan dua lagi calon iaitu Datuk Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo membawa perpecahan kepada Pemuda.
Bagi Khairy dalam keghairahan untuk memenangkan calon masing-masing semangat setiakawan dalam Pemuda harus dikekalkan. Dalam wawancara dengan wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLEE BAKAR, beliau yang kini menyandang jawatan Naib Ketua Pemuda secara terbuka menjawab pelbagai persoalan berkaitan dirinya dan perebutan jawatan dalam Pemuda.
Apapun beliau amat berharap perwakilan akan membuat keputusan berasaskan kepada realiti dan bukannya persepsi terhadap seseorang calon. Khairy juga turut memaparkan apa yang ingin beliau lakukan dalam usaha merapatkan hubungan Pemuda dengan rakyat.
MINGGUAN: Bagaimana penerimaan perwakilan, ketika YB berkempen?
KHAIRY: Alhamdulillah, maklum balas dan sokongan yang diterima terhadap gagasan setiakawan daripada perwakilan sangat positif dan saya harap akan diterjemahkan kepada undi pada 25 Mac nanti.
Kempen dalam Pemuda kali ini turut menyaksikan peribadi YB diserang sekali lagi, apa pandangan YB?
KHAIRY: Saya berpendapat, faktor paling besar yang menyemarakkan perbincangan dan tuduhan terhadap saya selama ini ialah “isu menantu”. Tuduhan utama ialah karier saya dipercepatkan kerana saya menantu Perdana Menteri. Bahaslah apa pun. Persepsi bahawa laluan saya dipermudahkan cepat merebak. Apakah salah dan dosa saya, sebenarnya kerana menjadi menantu? Jodoh, ajal maut, semuanya di tangan Tuhan. Tetapi yang pasti isu menantu ini akan hilang dengan sendirinya apabila Pak Lah menyerahkan kuasa kepada Datuk Seri Najib Tun Razak. Selepas itu berlaku, saya tidak akan dilihat sebagai seorang yang dibayangi oleh isu ini dan tidak boleh dipersalahkan lagi atas segala yang berlaku dalam pentadbiran kerajaan.
Tetapi apakah semua persepsi itu betul?
KHAIRY: Tidak. Saya menjadi sasaran mudah umpama kambing hitam. Kita mesti akui setiap pemimpin apatah lagi Perdana Menteri mempunyai ramai pengkritik. Mereka ini akan cari sasaran mudah untuk menyerang, memandangkan saya menantu Perdana Menteri dan kebetulan pula terlibat dalam politik, segala permasalahan pentadbiran negara dikatakan berpunca daripada KJ.
Persepsi ini menjadi mengarut sampai harga minyak naik pun saya disalahkan. Pemilihan calon-calon pilihan raya pun salah saya juga. Semua tuduhan ini bersifat sensasi, umpama menjelmakan insan kerdil seperti Khairy Jamaluddin menjadi punca segalanya. Sampai hari ini apabila saya mencabar mereka yang menuduh saya untuk kemukakan bukti, mereka gagal. Jadi saya percaya, semua itu adalah agenda politik untuk melemahkan Perdana Menteri dan menguburkan kerjaya politik saya.
Bagaimanapun saya pasrah dan reda dengan dugaan ini dan berharap perwakilan yang berjumpa saya mengenali KJ sebenarnya dan boleh memisahkan antara realiti dan persepsi.
Difahamkan YB sekali lagi akan menjadi sasaran penulis-penulis buku politik?
KHAIRY: Secara peribadi dan prinsipnya, saya menghormati hak setiap orang mengkritik, menegur, menyokong atau menyatakan beliau tidak gemar pemimpin tertentu. Cuma kalau boleh elakkan perbuatan mencerca dan menghindari perkataan yang terlalu kesat. Ini kerana, apapun perbezaan pandangan, jangan kita meletakkan tahap kita serendah mereka yang dijelaskan oleh Rasulullah umpama memakan daging saudaranya sendiri.
Saya harap perwakilan tidak dipengaruhi oleh buku-buku politik yang jelas berat sebelah dan menyerang calon-calon secara peribadi. Mereka sudah ada masa yang agak lama untuk menilai setiap calon. Penilaian yang dibuat secara langsung in person adalah lebih sahih daripada cerita dalam sesetengah buku-buku politik yang berniat menjatuhkan pemimpin.
Apa masalah utama yang harus diselesaikan oleh seorang Ketua Pemuda?
KHAIRY: Masalah utama berhubung kemerosotan sokongan kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN). Ini adalah cabaran utama Pemuda UMNO.
Dalam hal ini, saya akan mantapkan lagi gerak kerja Pemuda dalam dua aspek. Pertama, dari segi latihan dan pendidikan politik. Ia bertujuan memperkuatkan jati diri ahli dan merakyatkan Pemuda. Maksudnya, dalam setiap tindakan Pemuda selepas ini akan membawa kesan positif kepada rakyat kerana Pemuda harus dilihat sebagai pembela nasib rakyat.
Perkara kedua, mengembalikan peranan aktivis dalam Pemuda. Saya akan menubuhkan kor penceramah dan imam muda iaitu lima penceramah dan lima imam muda dari setiap bahagian. Mereka akan menjadi aktivis kita di peringkat akar umbi dan memastikan dalam dua aspek yang mungkin kita nampak ada sedikit kelemahan iaitu penyampaian maklumat dan aktiviti keagamaan.
Saya juga akan menubuhkan unit penyampai maklumat yang akan menggunakan teknologi terkini bagi memastikan setiap ahli dan rakyat sentiasa dibekalkan dengan maklumat dan keputusan terkini yang dibuat oleh pemimpin. Ini termasuk unit perang siber yang lebih agresif melalui kaedah seperti blog dan juga portal rangkaian sosial seperti Facebook dan MySpace yang begitu popular di kalangan generasi muda. Maklumat yang kita sampaikan mesti terkini, tepat dan padat. Barulah ahli kita memahami bagaimana nak berdepan dengan sesuatu isu di kawasan masing-masing.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA ULAS APA YANG ANDA BACA