Kenapa dibantah langkah memajukan anak bangsa sendiri?
SAYA berasa amat tersinggung dan tidak puas hati dengan kumpulan-kumpulan pendesak yang mahu kerajaan memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Apakah tujuan mereka sebenar-benarnya?
Ingin menjadi hero agar dimasukkan ke dalam buku sejarah Malaysia pada masa akan datang? Tidakkah mereka sedar, orang Melayu telah jauh ketinggalan dan diperkotak-katikkan dalam segala bidang. Apakah mereka ingin bangsa Melayu terus mundur dan ketinggalan sampai bila-bila?
Memang benar bahasa ibunda kita mesti dipertahankan. Bahasa Melayu mesti didaulatkan. Tetapi ada banyak cara lain lagi. Kalau betul mereka ini hero Bahasa Melayu, perjuangkan Bahasa Melayu di papan-papan tanda jalan di Pulau Pinang yang dianaktirikan.
Perjuangkan kenapa bahasa Melayu diketepikan dalam sektor swasta yang jelas memperkecilkan bahasa Melayu, walhal mereka menjalankan aktiviti mereka dalam negara Malaysia, sehingga secara langsung mengenepikan hak-hak anak Melayu untuk memperoleh pekerjaan dalam syarikat mereka.
Perjuangkan kenapa Bahasa Melayu hanyalah secebis tulisan kecil (atau kadang-kala tiada langsung) pada papan tanda kedai-kedai dan premis-premis di bandar seluruh Malaysia. Perjuangkan itu semua, barulah hero namanya.
Ini yang dihebohkan, yang dibantah, sesuatu yang dilakukan untuk kemajuan untuk anak bangsa sendiri.
Difikirkan sedalam-dalamnya, mereka ini golongan yang hanya mementingkan diri sendiri. Mereka berkata, Jepun dan Korea tidak perlu Bahasa Inggeris untuk kemajuan negara mereka.
Cubalah berfikiran terbuka dan teliti. Jepun dan Korea tidak menggunakan bahasa Inggeris kerana segala teknologi itu mereka yang cipta sendiri. Mereka bebas menamakan ciptaan mereka menggunakan bahasa mereka. Mereka rajin berfikir dan berusaha. Tetapi kita masih lagi negara membangun dan kita masih belajar.
Negara kita masih mengharapkan kemahiran, kepakaran dan maklumat-maklumat daripada orang lain yang ternyata mengutamakan Bahasa Inggeris. Berapa banyakkah buku-buku mereka diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu?
Lagi pun ada banyak mata pelajaran lain lagi yang masih menggunakan Bahasa Melayu? Kalau Sains dan Matematik dikembalikan ke bahasa Melayu, mereka yang berpangkat dan berada boleh menghantar anak-anak ke pusat tuisyen yang terbaik atau hantar saja anak-anak ke sekolah antarabangsa.
Tetapi bagi kami yang berpendapatan kecil dan bukan senang, apalah daya kami? Nampaknya golongan ini mahu terus fenomena yang kaya terus berjaya, yang susah sentiasa mundur sampai bila-bila.
Harapan saya dan seluruh rakyat Malaysia kelas menengah dan rendah, supaya kerajaan tidak akan tunduk dengan desakan oleh mereka ini.
Lagi pun bekas perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah berjanji, Sains dan Matematik akan dikembalikan ke Bahasa Melayu apabila kita menjadi negara maju dan menguasai semua teknologi dan kepakaran nanti, insya-Allah. Hidup ini kadang-kala perlu penghijrahan dan anggaplah ini sebahagian daripada Hijrah.
PAK MAT BERWAWASAN
Cheras, Kuala Lumpur
YANG MEMBANTAH SEMUANYA YANG TINGGI ILMU NYA TAPI TIDAK MAHU MELIHAT ANAK BANGSA SENDIRI MAJU UNTUK MENGHADAPI HARI HARI YANG PENUH CABARAN.SEKIRANYA SEMASA DIPERINGKAT MUDA KITA TIDAK YAKIN UNTUK MENGHADAPI CABARAN APATAH LAGI SEMASA MENDATANG.
BAGI SAYA ADALAH LEBIH BAIK SEGALA YANG TELAH DILAKUKAN DITERUSKAN TANPA KITA PUSING KEBELAKANG KERANA UNTUK MENGHADAPI ABAD YANG MENCABAR PERLU DIBERIKAN PERHATIAN YANG MENDALAM.
TERUSKAN AGENDA YANG DISUSUN DAN CARILAH JALAN PENYELESAIAN AGAR SEGALA PERANCANGAN UNTUK MENGHADAPI WAWASAN 2020 AKAN TERCAPAI SUPAYA ANAK ANAK KITA TIDAK AKAN MENERIMA AKIBAT DARI APA YANG KITA RANCANGKAN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA ULAS APA YANG ANDA BACA