Jika pembangkang yang mentadbir Selangor sejak menang pilihan raya umum lalu beranggapan mereka boleh terus ‘buli’ UMNO dan Barisan Nasional (BN) di negeri itu, tanggapan itu bakal berakhir.

Seperti disaran ‘api kena lawan dengan api’, UMNO dan BN Selangor yang dapat bos baru, Datuk Seri Najib Tun Razak sudah merancang langkah-langkah baru bagi menghadapi serangan pembangkang.

Dalam mesyuarat pertama selepas mengambil alih jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Najib berkata, parti itu perlu bertindak melawan segala tohmahan dan fitnah parti lawan terhadap pemimpin UMNO kebelakangan ini.

Perdana Menteri itu berkata, UMNO perlu menyediakan hujah dengan fakta yang betul bagi menangkis tohmahan serta fitnah yang dilemparkan oleh pembangkang.

“Fitnah atau “spinning" yang dilakukan pembangkang seolah-olah meletakkan UMNO tidak berada di pihak yang betul atau dalam keadaan terlalu mempertahankan diri atau defensive berhubung apa dilemparkan terhadap parti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Selangor di ibu pejabat parti itu di Shah Alam, Sabtu.

Najib diminta menjelaskan apakah dengan dengan langkah-langkah baru yang akan dilaksanakan UMNO Selangor dapat menyerang balas tohmahan dan fitnah yang dilihat sebagai modal utama pembangkang.

Sebagai contoh, mantan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo terus jadi sasaran pemimpin kerajaan campuran di negeri itu dengan pelbagai isu walaupun ianya tidak tepat dan tidak benar.

Menjawab soalan lain, Najib mengakui memang tugas UMNO menjaga hati orang Melayu walaupun secara realiti politiknya UMNO kena menyokong dasar-dasar yang membawa sokongan kepada kaum lain.

Mengenai hasrat pertemuan dengan pembangkang bagi mencari penyelesaian krisis di Perak, Najib sekalgi lagi menegaskan pertemuan itu harus berlaku tanpa sebarang syarat.

Katanya, walaupun pembangkang mencadangkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, ianya adalah kuasa Sultan Perak.

Pada sidang media itu, Najib turut mengumumkan pelantikan Datuk Mohd Satin Diman sebagai Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk F.D Iskandar (Bendahari) dan Abdul Shukor Idrus sebagai Ketua Penerangan.

Dr Mohamad Khir pula dilantik mengetuai kumpulan pemikir bagi UMNO di negeri itu.

Najib juga meminta pemimpin UMNO di Selangor bekerja sebagai satu pasukan yang padu dan sentiasa mengutamakan kepentingan serta kebajikan rakyat dengan membanyakkan program mesra rakyat.

“Saya percaya dengan semangat tinggi dan langkah –langkah baru, ianya dapat tingkat kepercayaan rakyat kepada UMNO dan BN Selangor Saya sudah gariskan pada badan perhubungan apa patut dilakukan,” katanya.

Sidang media itu turut dihadiri Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Noh Omar.

Najib turut mengadakan perjumpaan tertutup dengan empat sayap parti UMNO selepas itu.

Beliau mengambil alih jawatan itu yang sebelum ini dipegang oleh Tan Sri Muhammad Muhamad Taib.