Datuk Seri Nizar Jamaluddin tetap mempertikaikan Barisan Nasional (BN) mempunyai majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak. “Tak timbul soal majority BN sebab mahkamah semalam sahkan saya Menteri Besar . Kalau nak uji juga bawa ke lantai DUN,” katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media di pejabat DAP Perak selepas keluar meninggalkan pejabatnya jam 2.30 petang Selasa. Beliau keluar pejabatnya kerana akur dengan keputusan Mahkamah Rayuan Putrajaya yang membenarkan permohonan Datuk Seri Dr Zambry Kadir untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari Isnin yang sahkan Nizar sebagai Menteri Besar Perak. Menurut beliau, pihaknya juga sedang mengkaji sama ada dalam tempoh perundangan (proses mahkamah berhubung isu Menteri Besar) undi tidak percaya terhadapnya boleh dibuat atau tidak dalam sidang DUN. Mengulas mengenai keputusan Mahkamah Rayuan, Nizar berkata, peguamnya akan kaji keputusan tersebut dan mendakwa keputusan itu menimbulkan lebih banyak persoalan. “Saya keluar pejabat SUK jam 2.30 petang sebab patuh keputusan mahkamah. Saya hormati keputusan hari ini tapi akan menunggu nasihat peguam.” katanya. – 12/5/2008