Menjelang 7 Mei depan apabila sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dijadualkan berlangsung, suhu politik negeri itu kembali panas. Pelbagai usaha dirancang dan cerita berlegar tentang tindakan pakatan pembangkang yang tidak dapat menerima hakikat penubuhan kerajaan baru ekoran tiga ADUN daripada pakatan pembangkang sebelum ini bertindak meninggalkan parti masing-masing dan memberikan sokongan kepada kerajaan negeri yang baru di bawah pimpinan, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Bermula dengan cerita lawak ‘bodoh’ kononnya DUN Perak telah diasapkan dengan kemenyan hinggalah kepada usaha terdesak Speaker V.Sivakumar yang kini membilang hari sehingga 7 Mei ini apabila usul melucutkan jawatannya akan dibawa oleh Dr. Zambry di DUN Perak, bukannya keputusan yang dibuat dalam mana-mana bilik mesyuarat atau bawah mana-mana pokok.

Dalam usaha terbarunya setelah memecat Setiausaha DUN, Abdullah Antong, seorang pegawai awam yang dilantik oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebelum ini, Sivakumar telah menghantar pula notis kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Dr. Abdul Rahman Hashim untuk mengadap Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Perak.

Menurut notis Sivakumar itu, SUK Negeri itu diarahkan hadir memberikan keterangan kepada jawatankuasa tersebut kerana tindakannya menutup bangunan SUK dan DUN Negeri Perak sehingga menyebabkan sidang DUN terpaksa diadakan di bawah pokok bulan Mac lalu.

Kalangan pegawai di pejabat SUK Perak menjangkakan Sivakumar akan membuat keputusan di bilik mesyuarat dan bukannya dalam sidang DUN menggantung Dr Abdul Rahman daripada menghadiri sidang DUN yang dijadualkan Khamis ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri menurut perlembagaan negeri adalah ex-officio (setaraf exco) dalam Exco Kerajaan Negeri Perak bersama-sama dengan Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-Undang.

Sementara itu, Bernama melaporkan Sivakumar hari Isnin memohon Sultan Perak Sultan Azlan Shah menimbang supaya persidangan dewan itu yang dijadual Khamis ini ditangguhkan sehingga isu siapa Menteri Besar yang sah diputuskan oleh mahkamah.

Sivakumar berkata permohonan itu dibuat dalam sepucuk surat yang dihantar kepada Istana Kinta di sini pada 11 pagi tadi.

“Saya berpendapat adalah tidak munasabah sidang DUN diadakan dalam kedudukan Menteri Besar yang masih dalam pertikaian di mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan di Ipoh.

Kes mengenai siapa antara Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin adalah Menteri Besar sedang dalam proses perbicaraan di Mahkamah Tinggi.

Sivakumar turut memberi alasan kebimbangan berlakunya pertelingkahan yang sukar dikawal jika persidangan dewan itu diadakan Khamis ini.

“Pada jangkaan saya kedua-dua pihak akan bertikam lidah mempertahankan pendirian masing-masing,” katanya.